KUALA SELANGOR, 2 DIS: Projek Rancangan Tebatan Banjir (RTB) Sungai Selangor di Kampung Asahan di sini dipercepatkan pelaksanaannya bagi menangani isu banjir yang kerap melanda kawasan berkenaan.
Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Melawati S Thiban berkata keputusan mempercepat projek bernilai RM20 juta itu dibuat selepas penelitian Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) terhadap situasi semasa dan keperluan mendesak penduduk.

"Kampung Asahan sering dilanda banjir, terutama sejak pembinaan Lebuhraya Persisiran Pantai Barat (WCE). Bila hujan lebat, air sungai melimpah ke parit sebelum masuk ke rumah penduduk.
"Cara pam air kembali ke sungai tidak lagi efektif, jadi JPS bersetuju menyegerakan RTB ini supaya limpahan boleh dikawal dengan lebih baik," katanya ketika ditemui Media Selangor.
S Thiban memberitahu projek tersebut bakal memberikan manfaat kepada lebih 4,000 penduduk di beberapa kampung sekitar termasuklah Kampung Asahan, Kampung Tanjung Siam, Kampung Sepakat dan Kampung Kuantan.

Beliau turut memaklumkan JPS menambah empat pam air mudah alih bagi mengurangkan banjir termenung yang berlarutan hampir seminggu susulan hujan luar biasa.
"Ketika ini terdapat lima pam beroperasi, termasuk satu pam sedia ada sejak 2017 yang tidak lagi mampu menampung kapasiti. Jadi kita tambah empat lagi pam mudah alih bagi mempercepat aliran keluar air dari parit," katanya.
Beliau menegaskan pam sedia ada akan terus disenggara bagi memastikan kemudahan itu berfungsi pada kapasiti optimum.

Kampung Asahan merupakan antara lokasi paling kerap dilanda banjir kilat terutama apabila hujan lebat berintensiti tinggi melanda kawasan itu.
Setakat 3.30 petang, sebanyak 21 pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka di seluruh Selangor, menempatkan 1,471 mangsa.
Daripada jumlah itu, 1,407 mangsa di 14 PPS adalah dari daerah Kuala Selangor, sekali gus menjadikan kawasan tersebut paling terjejas ketika ini.





