SHAH ALAM, 2 DIS: Orang ramai diingatkan supaya berwaspada dan sentiasa peka terhadap perubahan cuaca serta keadaan alam sekitar susulan amaran fenomena air pasang besar di Klang mulai 3 hingga 7 Disember ini.
Menurut Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Klang, paras air laut dijangka mencecah sehingga 5.2 meter berdasarkan ramalan Jabatan Meteorologi Malaysia dan Pusat Hidrografi Nasional.
Fenomena ini diramal berlaku di sekitar Stesen Pelabuhan Klang dengan bacaan tertinggi air laut direkodkan selama tiga hari berturut-turut bermula 4 Disember (Khamis) hingga 6 Disember (Sabtu).
Pada 4 Disember, air pasang tertinggi 5.2 meter dijangka berlaku sekitar jam 4:58 pagi, manakala pada 5 dan 6 Disember pula masing-masing pada jam 5:46 pagi dan 6:31 pagi.
Ramalan cuaca menunjukkan kemungkinan ribut petir berlaku di beberapa kawasan pada waktu pagi dan petang sepanjang tempoh fenomena itu, khususnya pada 5 dan 6 Disember.
Bacaan air pasang tinggi turut dijangka pada waktu petang antara 4.5 hingga 5.0 meter, dengan keadaan cuaca pada waktu malam secara umumnya diramal tidak hujan kecuali pada 6 dan 7 Disember.
Jawatankuasa Pengurusan Bencana menasihati orang awam, terutamanya penduduk di kawasan berisiko banjir, supaya mengambil langkah berjaga-jaga dan memastikan semua persiapan keselamatan telah dilakukan.
Pihak Pusat Operasi Bencana (DDOC) Daerah Klang boleh dihubungi melalui talian 03-33829292 untuk sebarang pertanyaan atau bantuan kecemasan sepanjang tempoh fenomena ini.
Orang ramai juga digesa mengikuti makluman terkini daripada agensi berkaitan serta menjauhi kawasan pantai dan muara sungai ketika bacaan air laut tinggi dicatatkan.
Sebarang kecemasan boleh dilaporkan terus ke Talian Kecemasan Negara 999 bagi tindakan pantas pasukan penyelamat dan pihak berkuasa tempatan.



