Kes lelaki ditembak mati di Klang: Polis siasat unsur kongsi gelap, dadah

2 Dis 2025, 6:51 AM
Kes lelaki ditembak mati di Klang: Polis siasat unsur kongsi gelap, dadah

SHAH ALAM, 2 DIS: Polis Selangor tidak menolak kemungkinan unsur kongsi gelap dan dadah dalam siasatan kes seorang lelaki ditembak mati dalam kenderaan pacuan empat roda di Taman Mesra Indah, Klang pada Sabtu lalu.

Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar berkata pihaknya masih menjalankan siasatan bagi mengesan suspek dan mengenal pasti motif kejadian, lapor Sinar.

“Semakan awal mendapati mangsa mempunyai tiga rekod berkaitan dadah iaitu di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 15 akta sama.

“Mangsa berusia 26 tahun itu maut selepas terkena lima das tembakan jarak dekat di bahagian badan menggunakan pistol,” katanya.

Mengulas kemungkinan kaitan dengan insiden tembakan di sebuah stesen minyak di Bukit Tinggi pada 7 November lalu, Shazeli berkata kedua-dua kes tidak mempunyai pertalian setakat ini.

Beliau memaklumkan kes berkenaan turut masih dalam siasatan dan seorang suspek telah diberi jamin polis.

Sebelum itu, Pusat Kawalan IPD Klang Selatan menerima panggilan berhubung kejadian tembakan berkenaan pada 8.35 malam.

Kes disiasat bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Orang ramai yang mempunyai maklumat diminta menghubungi Pegawai Penyiasat Kanan Jenayah, Asisten Superintenden Mohd Harman Mohd Haniff di 019-2100334 atau Bilik Gerakan IPD Klang Selatan di 03-33762222.