SHAH ALAM, 2 DIS: Jumlah mangsa banjir di Selangor yang ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) terus menurun kepada 1,812 mangsa setakat 9 pagi ini.
Menurut laporan terkini Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), semua mangsa melibatkan 517 keluarga itu berlindung di 27 PPS di empat daerah.
Kuala Selangor masih merekodkan jumlah tertinggi iaitu 1,627 mangsa diikuti Kuala Langat (109), Sepang (43) Kuala Langat (109) dan Sabak Bernam (36).
Sebanyak 15 PPS di buka di Kuala Selangor, Kuala Langat (6), Sepang (3) dan Sabak Bernam (3).
Jabatan Meteorologi Malaysia (MET) memaklumkan cuaca dijangka bertambah baik dan tiada potensi hujan berterusan di beberapa negeri termasuk Selangor berdasarkan analisis model-model cuaca.
Orang ramai boleh mendapatkan maklumat cuaca terkini melalui laman web rasmi Jabatan, aplikasi mobil myCuaca dan laman media sosial rasmi Jabatan.
Talian hotline MET Malaysia 1-300-22-1638 boleh dihubungi bagi sebarang pertanyaan lanjut.


