Pegawai kanan risik ATM didakwa terima rasuah, lindung penyeludupan rokok

1 Dis 2025, 5:50 AM
Pegawai kanan risik ATM didakwa terima rasuah, lindung penyeludupan rokok

SHAH ALAM, 1 DIS: Seorang pegawai kanan tentera berpangkat Leftenan Kolonel mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Johor Bahru, hari ini atas pertuduhan meminta rasuah untuk 'trip' penyeludupan rokok, tiga tahun lalu.

Tertuduh, Kamarulzaman Ali, 53, sebagai Ketua Cawangan Rancang dan Kempen Gerak Saraf Perang Saraf di Pertubuhan Perisikan Pertahanan Malaysia (MDIO) membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim, Datuk Ahmad Kamal Arifin Ismail.

Kamarulzaman didakwa secara rasuah meminta suatu suapan wang tunai RM1,500 untuk setiap 'trip' penyeludupan rokok yang berjaya mendarat di perairan selatan Johor, daripada dua individu, lapor Berita Harian.

Tindakan itu sebagai suatu dorongan supaya tertuduh tidak melaporkan aktiviti penyeludupan rokok di daerah Kota Tinggi, yang sepatutnya dilaporkan mengikut tugasannya.

Kesalahan didakwa dilakukan di sebuah warung di Teluk Ramunia, Pengerang dekat Kota Tinggi, sekitar Oktober 2022.

Pendakwaan mengikut Seksyen 16(a) (B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum penjara sehingga 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali jumlah suapan atau RM10,000 mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya SPRM, 'Athirah Mohd Azuarizanuddin, tidak menawarkan sebarang jaminan berikutan kesalahan ini tidak boleh dijamin.

Bagaimanapun peguam, S Sangkari yang mewakili tertuduh memohon jaminan dibenarkan atas beberapa faktor termasuk tertuduh masih bertugas dan menanggung ibu yang uzur, isteri dan anak berusia 21 tahun yang masih belajar di institusi pendidikan tinggi (IPT).

"Tertuduh mempunyai gaji bersih RM6,204. Pihak kami juga memohon agar pasport tertuduh tidak ditahan Mahkamah berikutan tiada kebarangkalian tertuduh melarikan diri, dan jika tertuduh mempunyai tugasan ke luar negara, pergerakannya akan dimaklumkan kepada Mahkamah.

"Pihak peguam juga memohon tertuduh diberi jaminan munasabah RM10,000," hujahnya.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin warga tempatan serta perlu melaporkan diri sebulan sekali tanpa gagal di Pejabat SPRM Kuala Lumpur.

Dalam pada itu A'thirah memohon kes dipindahkan ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur mengikut Seksyen 104 Akta Mahkamah Rendah 1948, berikutan tertuduh juga didakwa dengan satu lagi pertuduhan rasuah di mahkamah berkenaan pada 31 Oktober lalu.

Mahkamah membenarkan kes dipindahkan ke Mahkamah Sesyen Jenayah SPRM Kuala Lumpur.