Reman ditolak, 171 lelaki disyaki terbabit aktiviti songsang dibebaskan

30 Nov 2025, 5:55 AM
Reman ditolak, 171 lelaki disyaki terbabit aktiviti songsang dibebaskan
Reman ditolak, 171 lelaki disyaki terbabit aktiviti songsang dibebaskan

SHAH ALAM, 30 NOV: Seramai 171 lelaki warga tempatan yang ditahan dalam serbuan pusat spa dan kesihatan di Chow Kit kelmarin dibebaskan dengan jaminan semalam selepas permohonan reman terhadap mereka ditolak.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus berkata permohonan reman ditolak Majistret kerana lewat dikemukakan susulan jumlah tangkapan yang ramai dan memerlukan proses pengelasan secara individu, lapor Berita Harian.

"Bagaimanapun daripada 202 individu yang ditahan, hanya 31 warga asing direman dua hari," katanya pada Majlis Pecah Kampung Sungai Baru, Kuala Lumpur hari ini.

Fadil berkata penahanan 202 orang dalam kategori masalah jenayah sosial adalah satu keadaan membimbangkan.

"Daripada 171 warga tempatan, 103 adalah berbangsa Melayu," katanya.

Beliau berkata semua yang ditahan disiasat mengikut Seksyen 377/372 Kanun Keseksaan namun tiada bukti yang boleh membantu siasatan setakat ini.

Katanya, agak sukar untuk membuat pertuduhan berdasarkan undang-undang yang ada ketika ini.

"Sebab setiap kali eksploitasi, pelacuran, ataupun luar tabii mesti ada mangsa tetapi tiada daripada mereka yang nak mengaku. 'So, the case is gone' (kes tidak diteruskan)," katanya.

Semalam, media melaporkan seramai 201 individu termasuk 17 penjawat awam ditahan dalam serbuan di sebuah premis di Chow Kit yang dipercayai terbabit aktiviti tidak bermoral atau songsang.