Rakyat Malaysia hilang akibat banjir, tanah runtuh di Sumatera Barat

30 Nov 2025, 2:11 AM
Rakyat Malaysia hilang akibat banjir, tanah runtuh di Sumatera Barat

SHAH ALAM, 30 NOV: Kementerian Luar Negeri hari ini mengesahkan kehilangan seorang rakyat Malaysia, Asrul Nizam bin Apridwson, 30 tahun, yang dipercayai terjejas dalam kejadian banjir dan tanah runtuh di Padang Panjang, Sumatera Barat, Indonesia pada 27 November 2025.

Menurut kenyataan rasmi, Konsulat Jeneral Malaysia di Medan kini berhubung rapat dengan Badan Nasional Pencarian dan Pertolongan (BASARNAS), Badan Penanggulangan Bencana Daerah (BPBD) Sumatera Barat serta polis tempatan bagi mendapatkan perkembangan terkini operasi mencari dan menyelamat.

Rakyat Malaysia di Sumatera Barat turut dinasihatkan untuk mematuhi arahan keselamatan pihak berkuasa tempatan termasuk BNPB, BPBD dan BASARNAS, serta menjauhi kawasan berisiko seperti laluan Padang–Bukittinggi di Lembah Anai, yang masih ditutup akibat bencana.

Warga Malaysia di kawasan terjejas juga digesa mendaftar kehadiran dengan Konsulat Jeneral bagi memudahkan bantuan disalurkan dan memastikan komunikasi yang tepat pada masanya.

Orang ramai yang memerlukan bantuan boleh menghubungi Konsulat Jeneral Malaysia di Medan +62 823-6164-6046 (24 jam) atau mwmedan@kln.gov.my

Kementerian Luar Negeri memaklumkan bahawa pihaknya akan terus memantau rapi perkembangan insiden tersebut dan mengeluarkan maklumat terkini dari semasa ke semasa.