SHAH ALAM, 30 NOV: Tokoh motivasi terkenal negara, Dato’ Dr. Mohd Fadzilah Kamsah, dianugerahkan Ijazah Kehormat Doktor Pendidikan Pengembangan pada Majlis Konvokesyen Universiti Putra Malaysia (UPM) ke-49, Sidang 2, semalam.
Penganugerahan berprestij itu disempurnakan oleh Tuanku Canselor UPM, Duli Yang Maha Mulia Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj.
Dr. Mohd Fadzilah dalam ucapannya menegaskan bahawa keikhlasan adalah asas kepada keberkesanan penyampaian ilmu dalam apa jua bidang.
“Tanpa keikhlasan, kita mudah letih dan tertekan. Ilmu hanya benar-benar bermakna apabila kita gembira ketika menyampaikannya,” katanya.
Beliau berkata setiap warga universiti, sama ada sebagai pendidik, pemimpin atau pekerja, perlu membangunkan diri sebelum membimbing orang lain, selaras dengan peranan sebagai agen penyampai maklumat.
Beliau turut menekankan bahawa pengembangan ilmu yang inklusif hanya dapat dicapai melalui kesatuan dan kolaborasi dalam kalangan komuniti kampus.
Penganugerahan ini merupakan pengiktirafan rasmi UPM terhadap hampir lima dekad sumbangan beliau dalam bidang motivasi, pendidikan dan pembangunan modal insan, disiplin yang menjadi asas kepada Pendidikan Pengembangan di universiti.
Dr. Mohd Fadzilah memulakan kerjaya akademiknya di UPM pada 1977 sebagai pensyarah di Jabatan Pembangunan Komunikasi sebelum dilantik sebagai Timbalan Pengarah Pusat Pengembangan dan Pendidikan Lanjutan (PPPL).
Sepanjang 16 tahun perkhidmatannya, beliau membangunkan pelbagai modul latihan dan program kecemerlangan diri yang menjadi rujukan institusi pendidikan serta agensi kerajaan.
Pengaruh beliau turut melangkaui peringkat antarabangsa melalui jemputan sebagai penceramah utama di Singapura, Brunei, Timur Tengah dan Eropah. Pendekatan beliau yang berteraskan nilai Islam, kekeluargaan dan budaya turut mengangkat Malaysia sebagai pusat rujukan ilmu motivasi serantau.
Sebelum ini, beliau turut menerima beberapa penghormatan termasuk Darjah Kebesaran Dato’ Setia Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah (DSSA) pada 1996, Tokoh Ma’al Hijrah, dan Anugerah Belia Felda Malaysia (2008).
Sumbangannya dalam membangunkan kepimpinan, pendidikan pengembangan, komuniti dan modal insan meletakkan beliau sebagai salah satu tokoh paling berpengaruh dalam landskap pendidikan negara.


