SHAH ALAM, 8 MEI: Universiti Putra Malaysia (UPM) mengharumkan nama negara apabila meraih tempat kedua dalam International Microbiology Quiz Competition (iMicrobe) 2026 yang berlangsung di Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Nilai pada 25 April lalu.
Pertandingan berprestij itu menghimpunkan 28 pasukan elit daripada universiti terkemuka dalam dan luar negara termasuk institusi dari Indonesia seperti Universitas Sumatera Utara, Universitas Katolik Indonesia Atma Jaya dan Universitas Diponegoro Semarang.
Turut menyertai pertandingan itu beberapa universiti utama tempatan termasuk Universiti Malaya (UM) dan Universiti Sains Malaysia (USM).
Pasukan UPM yang dianggotai Chin Min Le, Ryan Koh Jia Xian, Kayalvili A/P Agilen dan Nitesh Nair A/L Kumar mempamerkan penguasaan akademik cemerlang, keupayaan penaakulan klinikal yang pantas serta ketenangan tinggi sepanjang pertandingan pelbagai peringkat itu.

Cabaran bermula menerusi pusingan Group Explore Race sebelum diteruskan dengan pusingan OMR yang menguji peserta melalui gabungan 25 soalan Multiple True/False dan 30 soalan Single Best Answer Questions (SBAQ).
Walaupun berdepan persaingan sengit, pasukan UPM berjaya mengekalkan prestasi konsisten apabila menduduki tempat kesembilan keseluruhan pada peringkat saringan untuk mara ke pusingan seterusnya.
Momentum kecemerlangan itu diteruskan dalam pusingan Olympic Duel apabila mereka berjaya menewaskan Universitas Sumatera Utara (USU), Indonesia sekali gus melayakkan diri ke Final Viva Round.
Dalam detik bersejarah pertandingan itu, UPM muncul satu-satunya wakil Malaysia yang berjaya menembusi kelompok tiga terbaik sebelum menamatkan saingan sebagai naib juara di pentas antarabangsa.
Pencapaian itu signifikan memandangkan kedudukan tiga terbaik sebelum ini sering didominasi pasukan dari Singapura dan Indonesia.

Ketua pasukan Chin Min Le menyifatkan kejayaan itu sebagai hasil dedikasi, disiplin dan semangat kerja berpasukan yang tinggi.
“Pencapaian ini mencerminkan hasil persediaan berbulan-bulan, ketahanan mental dan keserasian kukuh dalam pasukan. Kami berbangga dapat mewakili UPM dan Malaysia di peringkat antarabangsa serta bersaing dengan pasukan terbaik dunia,” katanya.
Pasukan itu menerima bimbingan akademik daripada pensyarah Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan UPM, Dr Azmiza Syawani.








