Oleh Zulaikha Adam
Dunia diancam parasit. Semakin banyak parasit hidup sihat, gemuk dan terlebih makan. Parasit meliar dan semakin tidak gentar kepada sesiapa. Parasit yang hanya tahu makan, tidur, makan, tidur dan berak! Parasit yang pemalas. Parasit yang tiada masa depan.
Ned naik jemu memasak untuk seekor parasit belaan. Sampai satu tahap, dia hanya memasak bubur nasi kosong ditambah secubit garam. Tetapi, parasit di rumahnya tidak puas hati dan mengamuk. Barang-barang kaca di rumahnya habis dipecahkan. Ned langsung tidak dapat melawan. Melawan hanya akan memuncakkan kemarahan parasit itu.
Sejak itu, Ned terpaksa menyediakan makanan istimewa. Parasit itu benar-benar memiliki selera besar. Tidak mahu ikan murah. Tidak mahu buah-buahan tempatan. Menu hidangan harus bertukar tiap-tiap hari. Ned buntu. Dia tidak tahu ingin memasak apa lagi. Sudah dia cuba memasak makanan asia dan barat. Kadang-kadang dimuntahkan sahaja oleh si parasit.
Ya, Ned membela parasit. Dahulu dia membela kucing, arnab dan hamster. Tetapi, semua tidak kekal. Haiwan-haiwan itu mati akibat tidak mendapat kasih sayang yang cukup. Dia tidak mampu membela haiwan-haiwan yang jinak dan comel seperti itu lagi. Ned hanya fokus membela seekor parasit. Parasit itu dahulu kurus seperti cicak. Kini, perutnya sebesar tong sampah.
“Alangkah bagusnya jika parasit ini hanya makan daun kering dan ranting kayu. Tidak perlu susah-sudah aku masak setiap hari.”
Semakin hari Ned semakin menyesal membela parasit. Ned juga cemburu dengan rakan-rakan sekolah lama. Mereka dapat membela sesuatu yang lebih berguna. Paling tidak pun membela sesuatu yang mendatangkan hasil. Mereka kelihatan cukup gembira terutamanya sewaktu pergi bercuti ke merata tempat. Sementara Ned, serba tidak cukup.
Akhirnya, Ned dengan penuh tekad melakukan inovasi dalam masakan. Dia sudah tidak mampu bertahan. Harga barang semakin tidak masuk akal. Beras tempatan, gula, minyak, gandum, sering disembunyikan hantu. Parasit di rumahnya pula sentiasa lapar! Lantas, Ned menggunakan sumber alam yang dikutip dalam hutan untuk dimasak dan dihidangkan kepada parasit belaannya.
“Ikutkan hati, aku mahu sumbat kau ke dalam guni dan campak ke dalam gaung paling dalam. Tetapi, aku tidak mampu. Aku spesies lemah. Mudah kasihan.” Ned merungut dalam hati. Dia tahu kelemahan utamanya adalah dilahirkan sebagai seorang perempuan.
“Sepuluh tahun bukan waktu yang singkat, kak.” Tiba-tiba suatu suara menegur. Dia agak terperanjat melihat Dee, jiran sebelah yang turut sama memungut hasil hutan.
“Apa yang kamu buat di sini? Lama akak tidak nampak kamu. Sihat?”
“Saya baik-baik saja, kak. Akak pula macam mana?” Dee mengibas-ngibas tengkuk yang dihinggapi nyamuk gendut. Di dalam bakul Dee, terlihat pucuk paku hasil kutipan.
“Akak? Macam itu jugalah, Dee. Sudah sepuluh tahun menderita membela parasit di rumah.”
“Oh, sihat lagi ya parasit belaan akak?”
“Makin gemuk adalah!” Ned melantang suara. Seolah-olah mahu semua orang tahu tentang keaiban parasit itu. Membela seekor parasit dalam tempoh yang lama benar-benar telah mengoyakkan mentalnya.
“Sebenarnya, kak. Saya pun dah mula membela seekor parasit di rumah. Sebab itulah akak jarang nampak saya. Buka mata saja saya sibuk uruskan anak-anak. Saya jugalah yang memasak. Saya jugalah mencuci. Habis itu, uruskan parasit pula. Kadang-kadang saya rasa lebih baik jadi mesin saja. Boleh buat semua perkara tanpa rasa penat. Janji ada bateri dan alat pengecas.”
“Alahai. Akak ingat, kamu bela kucing atau arnab. Tetapi, parasit juga yang kamu bela. Malangnya nasib kita berdua.” Ned memerhatikan tubuh Dee dari atas ke bawah. Tubuh kerempeng itu telah membuktikan kepenatan yang ditanggung.
“Tetapi, saya masih bersyukur. Parasit belaan saya jenis parasit kampung. Jadi, tidak susahlah untuk sediakan makanan hari-hari buatnya. Saya kutip saja apa yang ada di hutan. Pucuk ubi, pucuk kayu, semua dia telan, kak.”
Ned tidak dapat menahan gelak.
“Parasit belaan kita sebenarnya tidak boleh memilih, Dee. Untung kau, bela parasit kampung. Parasit akak parasit bandar. Serba tidak kena dibuatnya. Lama-lama boleh gila!”
“Sabarlah, kak.” Pujuk Dee. Meski dia menelan kecewa yang sama.
“Sudah tengah hari. Marilah balik. Dapur pun belum berasap lagi. Kejap lagi, parasit mengamuk jadi zombi pula.” Ned menamatkan perbualan.
Malam itu, Ned dan Dee tidak dapat lelap. Jiwa perempuan mereka gelisah. Mereka berdua pun berhubung dan bertemu di sebuah bangsal. Malam itu, di bawah bulan purnama yang galak menyala, kedua-dua perempuan ini bercadang untuk membunuh parasit belaan mereka.
“Parasit memang tidak sedar diri. Setiap hari kerjanya membebankan kita. Aku menyesal. Tetapi, nasi sudah jadi bubur. Aku tidak boleh salahkan sesiapa. Dahulu, aku jugalah yang mahu membela parasit itu.” Ned duduk di sebuah bangku panjang. Di sebelahnya Dee, dalam wajah pucat ketakutan.
“Kenapa, kamu takut? Takut nak bunuh parasit itu? Aku tak takut. Aku memang dah hilang sabar. Aku dah penat. Penat sangat!”
“Betul, kak. Saya tak sanggup. Walaupun sudah cukup terbeban, tetapi saya masih sayangkan parasit itu.”
Sekali lagi Ned tidak dapat menahan gelak. Kali ini ketawanya mengilai.
“Beginilah hati seorang perempuan. Meski nipis seperti tisu, tetap tidak mudah koyak. Perempuan seperti kita inilah yang akhirnya mati dalam penderitaan.”
Lama Dee terdiam. Wajahnya basah dek air mata.
“Air mata tidak akan selesaikan apa-apa, Dee. Tetapi, tidak mengapalah kalau kau tak berani membunuh parasit di rumahmu. Biar aku saja yang lakukannya!”
Ned pun mencapai sebilah parang yang sejak tadi ada di sisinya. Dia sudah siap memakai sarung tangan getah dan baju hitam. Dia juga siap memakai pelitup muka. Dirinya dalam serba hitam, seperti kehitaman hari-hari yang dilalui selama 10 tahun.
Ned mahu melakukan pembunuhan itu tanpa dikesan oleh sesiapa, terutama anggota polis. Membunuh atas dasar apa sekalipun, tetap merupakan kesalahan. Kalau ditangkap, dia pasti dikenakan hukuman berat.
Baru beberapa langkah dia bermula, Dee meluru ke arahnya dan menolak Ned jatuh ke tanah. Ned rebah. Dee merampas parang daripada tangan Ned. Mereka bergelut selama beberapa minit di tanah itu. Jeritan kuat terdengar. Satu tusukan pun menikam tubuh salah seorang daripada mereka.
“Kita tidak boleh membunuh parasit itu, kak. Mereka itu masih manusia. Mereka itu suami kita!” Dee teresak-esak sambil melihat sekujur tubuh di hadapannya terbaring berlumuran darah.
***
Seekor parasit bandar ditemui mati kelaparan di sebuah rumah selepas tiga puluh hari tidak dihidangkan makanan oleh pembela yang terkorban dalam sebuah pergelutan. Kematian parasit yang pemalas dan tiada masa depan itu dianggap tidak bermakna apa-apa. Sementara, dunia terus diancam parasit-parasit lain yang galak membiak.


