SELAYANG, 29 NOV: Satu perbincangan meja bulat akan dilaksana bagi menangani permasalahan keganasan rumah tangga termasuk kes penderaan supaya asas kekeluargaan terus diperkukuh, kata EXCO Kebajikan Masyarakat.
Anfaal Saari berkata perbincangan yang dilaksana bersama EXCO Agama Islam Dr Fahmi Ngah yang turut disertai Jabatan Agama Islam Selangor itu juga sebahagian persediaan dalam pindaan Enakmen Keluarga Syariah pada 2027 nanti.
“Berdasarkan data Polis Diraja Malaysia, 1,007 kes keganasan rumah tangga dilaporkan di Selangor setakat September lalu yang mana 22 peratus daripadanya berlaku di Gombak. Begitu juga kes dera dan rogol, Gombak mencatat kes tertinggi.
“Statistik ini amat membimbangkan dan isyarat supaya perlu kembali memperkukuh asas paling penting iaitu institusi kekeluargaan.
“Sehubungan itu, Kerajaan Negeri melaksana satu perbincangan meja bulat dalam memperkukuh institusi kekeluargaan selain persediaan pindaan enakmen keluarga syariah termasuk berkaitan pembayaran nafkah,” katanya hari ini.
Terdahulu, merasmikan November bulan keluarga kebangsaan peringkat negeri, Anfaal memaklumkan bapa memainkan peranan dalam melindungi dan membimbing anak-anak.
“Peranan lelaki ini bukan mengangkat tangan dengan kekasaran sebaliknya membimbing dan melindungi keluarga selain memperkukuh komunikasi antara suami dan isteri.
“Kanak-kanak ini perlu dibentuk, diajar mengawal emosi dan dididik dengan nilai moral kerohanian yang dibina dengan asas kukuh,” ujarnya.



