SHAH ALAM, 29 NOV: Ekspo Usahawan Selangor (SELBIZ) 2025 yang menghimpunkan lebih 100 pengusaha tempatan menyasarkan nilai transaksi sehingga RM1 juta sepanjang tiga hari penganjurannya bermula semalam.
EXCO Pembangunan Usahawan Najwan Halimi berkata sasaran itu realistik berdasarkan rekod penganjuran sebelum ini yang berjaya merekodkan hampir RM10 juta transaksi keseluruhan sejak 2022.

“Edisi keempat ini menjangkakan lebih 25,000 pengunjung. Selain ruang jualan usahawan, kita turut libatkan institusi kewangan, agensi negeri dan pusat pengajian tinggi bagi memperluas peluang rangkaian perniagaan.
“Tahun ini, Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) memberi tumpuan kepada penguasaan teknologi, digitalisasi dan kecerdasan buatan (AI) sebagai keperluan utama usahawan masa kini,” katanya ketika merasmikan SELBIZ 2025 di Pusat Konvensyen Shah Alam (SACC) di sini.
Najwan berkata majoriti usahawan di negeri ini menunjukkan kemampuan menyesuaikan diri dengan teknologi semasa berikutan pelaksanaan pelbagai inisiatif negeri antaranya Platform Selangor (PLATS), kerjasama Selangor Youth Community (SAY) dan Yayasan Hijrah.
“Malah hampir 90 peratus peniaga kecil termasuk penjaja kini menggunakan transaksi digital. Kita mahu semua beralih mengikut keperluan pasaran walaupun proses itu mengambil masa,” katanya.
Menurut Najwan, penganjuran SELBIZ bukan sekadar platform jualan, sebaliknya turut menyediakan pengisian seperti sembang niaga, sesi bimbingan, perkongsian industri dan aktiviti santai berorientasikan keluarga.
“Selain memacu pembangunan usahawan, kita mahu ekspo ini menjadi ruang kepada masyarakat setempat menikmati aktiviti bersama keluarga,” katanya.
SELBIZ 2025 turut menawarkan lebih 200 cabutan bertuah termasuk hadiah utama pakej pelayaran lima hari, selain persembahan artis popular seperti Dayang Nurfaizah, Adira Suhaimi, Black Hanifah dan Zarul Umbrella.
Diperkenalkan PKNS sejak 2022, SELBIZ merupakan platform strategik bagi memperkasa perusahaan kecil dan sederhana (PKS) serta mempromosikan produk tempatan ke pasaran lebih luas, seterusnya mengukuhkan ekosistem keusahawanan di Selangor.




