SHAH ALAM, 24 NOV: Ekspo Usahawan Selangor (SELBIZ) kali keempat bakal membuka peluang besar kepada usahawan memperluas perniagaan melalui segmen baharu pemadanan perniagaan antara usahawan dan syarikat besar.
Bertemakan Usahawan Cekap Digital, ekspo anjuran Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) menampilkan 130 usahawan dengan kepelbagaian produk termasuk makanan, fesyen dan perkhidmatan.
Acara selama tiga hari mulai 28 November ini di Pusat Konvensyen Shah Alam dijangka menarik 25,000 pengunjung.
Menurut Pengurus Pembangunan Usahawan PKNS Yuzawati Yusof, tahun ini SELBIZ memperkenalkan segmen pemadanan perniagaan buat julung kali.
“Segmen ini menempatkan usahawan berdaftar bertemu dengan pasar raya besar dan turut menawarkan kursus jangka pendek bagi individu yang ingin memulakan perniagaan.
"Kursus ini memberi fokus kepada perancangan perniagaan, pengurusan kewangan, pemasaran digital dan pendigitalan perniagaan,” katanya.

Yuzawati menambah, PKNS turut menyediakan Klinik Usahawan dengan kaunselor keusahawanan sepanjang ekspo secara percuma.
“Kaunselor ini membimbing mereka yang berminat tetapi belum pasti untuk memulakan perniagaan, termasuk persediaan awal yang perlu dilakukan,” katanya.
Selain itu, pengunjung bakal berpeluang memenangi lebih 200 cabutan bertuah termasuk hadiah utama pakej percutian pelayaran lima hari.
Ekspo juga dimeriahkan dengan persembahan artis popular seperti Dayang Nurfaizah, Adira Suhaimi, Black Hanifah dan Zarul Umbrella.
SELBIZ diperkenalkan PKNS pada 2022 untuk membantu perusahaan kecil dan sederhana (PKS) serta mempromosikan produk tempatan ke pasaran lebih luas.
Tahun ini, dengan penekanan pada digitalisasi dan pemadanan perniagaan, SELBIZ dijangka menjadi platform strategik untuk memperkukuh ekonomi usahawan di Selangor.







