KOTA KINABALU, 29 NOV: Seramai 366,917 individu atau 21.05 peratus daripada 1.78 juta pengundi telah menunaikan tanggungjawab mereka dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah setakat 9 pagi, menurut Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).
Sebanyak 882 pusat mengundi dengan 3,559 saluran mula dibuka pada 7.30 pagi dan dijadualkan ditutup secara berperingkat bermula 12 tengah hari hingga 5.30 petang.
PRN kali ini menyaksikan persaingan sengit membabitkan 596 calon merebut 73 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dengan penyertaan 22 parti politik dan 73 calon Bebas.
Kerusi paling panas termasuk DUN Tulid (14 penjuru), Bandau, Tamparuli dan Inanam (masing-masing 13 calon) serta Banggi (12 calon).
Tinjauan di DUN N.20 Api-Api di sini mendapati kira-kira 300 pengundi sudah beratur seawal 7 pagi di Sekolah Jenis Kebangsaan (Cina) Chung Hwa, Kampung Ayer untuk memilih wakil rakyat mereka.
DUN berkenaan menyaksikan pertandingan lima penjuru membabitkan Ng Chun Sua @ Kandrix (PIS), Ting Shu Kiong (StarSabah), Soh Kee Suat @ So Chee Say (PBK), Loi Kok Liang (Warisan) dan Thonny Chee (HARAPAN).
Suasana pagi ini dilaporkan tenang dan terkawal dengan pemantauan rapi petugas SPR serta pegawai keselamatan, walaupun hujan renyai turun di beberapa kawasan Pantai Barat negeri itu.
Jabatan Meteorologi Malaysia dalam satu kenyataan menasihati pengundi supaya merancang perjalanan dengan baik bagi mengelak sebarang kesulitan akibat cuaca.
SPR sebelum ini menjangkakan peratusan keluar mengundi melebihi 60 peratus, bergantung kepada keadaan cuaca, manakala pada PRN ke-16 pada 2020, jumlah keluar mengundi direkodkan 66.61 peratus.



