Pancing udang kara antara tarikan pengunjung Selangor Halalvibe Fest 2025

28 Nov 2025, 10:07 AM
Pancing udang kara antara tarikan pengunjung Selangor Halalvibe Fest 2025
Pancing udang kara antara tarikan pengunjung Selangor Halalvibe Fest 2025

SHAH ALAM, 28 NOV: Pengunjung Selangor HalalVibe Fest 2025 berpeluang merasai pengalaman memancing udang kara air tawar di kolam mini yang disediakan Ayubie Agro Farm.

Dengan bayaran serendah RM5 untuk 10 minit atau RM10 bagi 30 minit, pengunjung juga boleh membawa pulang udang kara air tawar masing-masing.

Pengusaha Ayubie Agro Farm, Nor Wani Idayu Ab Wahid, berkata aktiviti memancing ini sering menjadi tarikan utama pengunjung tanpa mengira usia.

“Setiap kali kami menyertai mana-mana program, aktiviti memancing memang selalu jadi tumpuan orang ramai. Siapa yang dapat udang, mereka boleh bawa balik, sama ada untuk dimakan atau dipelihara. Kami akan bimbing cara penjagaan dan pemakanan udang tersebut,” katanya kepada Media Selangor.

Nor Wani, yang mengusahakan ternakan udang kara air tawar di Kampung Delek, Klang, membawa kira-kira 100 ekor udang muda setiap hari bagi memeriahkan aktiviti memancing.

Beliau berkata beberapa syarat perlu dipatuhi pemancing, dan jumlah udang yang diperoleh bergantung kepada kebolehan masing-masing.

“Terpulang kepada kebolehan pemancing. Ada yang boleh dapat sehingga 12 ekor dalam 10 minit. Bagi yang kurang mahir, kami akan bantu. Beberapa syarat perlu dipatuhi, contohnya tidak boleh memegang tali atau menggantung udang pada badan,” jelasnya.

Nor Wani yang memulakan ternakan udang kara bersama suaminya sejak 10 tahun lalu berkata spesies berkenaan dibenarkan dipelihara di kediaman oleh Jabatan Perikanan dan tidak sukar dijaga, cuma perlu memantau kualiti air, pemakanan serta penyakit.

“Udang kara air tawar ini tidak mengandungi asid urik, rendah kalori dan kolesterol. Ayah saya pesakit gout, tetapi masih boleh makan udang ini,” tambahnya.

Selangor HalalVibe Fest 2025 berlangsung selama empat hari hingga Ahad ini, menawarkan pelbagai pengisian termasuk Seminar Pensijilan Halal, sesi padanan perniagaan, pembentangan kesedaran halal serta aktiviti pitching bersama Yayasan Hijrah Selangor dan Agrobank bagi membuka peluang jaringan dan permodalan kepada usahawan.

Festival ini turut dimeriahkan konsert artis terkenal seperti Ara Johari, Wany Hasrita, Jamal Abdillah dan Aizat Amdan, selain lebih 300 reruai pempamer melibatkan produk halal makanan dan minuman, perkhidmatan, pertanian serta fesyen.