GHaS 2026 perkukuh Malaysia sebagai peneraju industri halal global

16 Sep 2026, 7:17 AM
GHaS 2026 perkukuh Malaysia sebagai peneraju industri halal global

SHAH ALAM, 16 SEPT: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) memperkukuh usaha meletakkan Malaysia sebagai peneraju industri halal global menerusi Global Halal Summit (GHaS) 2026.

Ketua Pengarah JAKIM Dato’ Dr. Sirajuddin Suhaimee berkata kerjasama strategik itu bukan sahaja memperluas peluang eksport produk halal Malaysia, malah mengukuhkan keyakinan rakan industri antarabangsa terhadap ekosistem halal negara.

Menurutnya, GHaS 2026 menjadi platform menghimpunkan pihak berkuasa halal, badan pensijilan, akademia dan pemain industri bagi memperkukuh integriti, standard serta inovasi sektor halal.

“GHaS 2026 menjadi platform global penting untuk menyatukan pihak berkuasa halal, badan pensijilan, akademia dan peneraju industri menerusi visi bersama berteraskan integriti dan inovasi.

“Melalui komponen utama seperti Konvensyen Badan Pensijilan Halal serta sesi pembangunan kapasiti teknikal, kita berusaha menangani cabaran moden yang kompleks.

“Ia termasuk isu fiqh semasa, teknologi makanan baharu dan penyeragaman peraturan halal di peringkat global, di samping memperkukuh tadbir urus halal Malaysia,” katanya menerusi kenyataan.

Menurutnya, GHaS merupakan platform utama negara bagi memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai peneraju serta penanda aras global dalam industri halal.

Jelasnya, inisiatif berkenaan merupakan kerjasama JAKIM dan Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), bersama agensinya termasuk MATRADE, Halal Development Corporation Berhad (HDC) dan Jabatan Standard Malaysia (JSM).

“Kerjasama itu turut diperkukuh menerusi penglibatan Islamic Tourism Centre (ITC) dan Halal Products Research Institute (IPPH), Universiti Putra Malaysia (UPM), khususnya dalam bidang penyelidikan, inovasi dan pembangunan pelancongan halal,” katanya.

Beliau berkata selain memperkukuh ekosistem halal secara menyeluruh, GHaS 2026 turut menyediakan ruang untuk memperluas jaringan antara pemain industri tempatan dan antarabangsa serta meneroka peluang pasaran baharu.

Menurutnya, Konvensyen Badan Pensijilan Halal (HCBC) yang diadakan sempena Global Halal Summit pada 22 hingga 23 September 2026 mengetengahkan tema ‘Syariah dan Integriti: Memperkasa Ekosistem Halal’.

“Program itu menghimpunkan pihak berkuasa halal, badan pensijilan halal, pakar, ahli akademik serta pemain industri bagi membincangkan perkembangan semasa, cabaran baharu dan hala tuju masa depan ekosistem halal global.

“Sepanjang sidang kemuncak berkenaan, siri pembentangan, forum dan sesi perkongsian pakar akan memberi tumpuan kepada isu kontemporari dan strategik termasuk audit syariah serta isu fiqh semasa.

“Antara topik lain yang akan dibincangkan termasuk penggunaan alkohol dalam produk makanan dan minuman, daging kultur, pensijilan vaksin halal, kewangan Islam, peraturan import dan eksport serta prosedur pengiktirafan badan pensijilan halal asing,” katanya.

Selain itu, Program Pembangunan Keupayaan Teknikal Halal Antarabangsa (IHTCDP) turut diadakan sebagai salah satu program utama di bawah GHaS yang menawarkan sesi pembangunan kapasiti khusus meliputi sektor halal utama termasuk makanan dan minuman serta perkhidmatan makanan, kosmetik dan farmaseutikal, selain logistik halal.

“Ia memberi tumpuan kepada beberapa bidang utama seperti keperluan pensijilan halal Malaysia, piawaian halal dan sistem jaminan halal, ramuan halal kritikal, persampelan dan analisis, pengurusan krisis halal, kebolehkesanan serta piawaian halal baharu,” katanya.

GHaS menjadi acara payung yang menghimpunkan platform utama pembangunan dan perdagangan halal dengan komponen utamanya merangkumi HCBC dan IHTCDP yang diterajui JAKIM, selain Pameran Halal Antarabangsa Malaysia (MIHAS) sebagai acara kemuncak yang dianjurkan oleh MATRADE.

Dalam perkembangan berkaitan MIHAS Knowledge Hub turut menjadi antara komponen penting dalam memperkukuh perkongsian pengetahuan dan pembangunan kapasiti dalam ekosistem halal.

Platform berkenaan menyediakan ruang untuk perkongsian ilmu, pandangan pakar serta perbincangan mengenai perkembangan dan cabaran semasa industri halal, sekali gus menyokong usaha menjadikan Malaysia sebagai rujukan global dalam sektor berkenaan.

Sebelum ini, MATRADE mempelawa syarikat Malaysia merebut peluang perniagaan baharu di peringkat global dengan mendaftar menyertai Program Sumber Antarabangsa (INSP) MIHAS 2026 sempena Pameran Halal Antarabangsa Malaysia (MIHAS) ke-22.

Bakal berlangsung di MITEC, Kuala Lumpur dari 23 hingga 26 September 2026, lebih 500 pembeli antarabangsa dari 55 ekonomi telah mengesahkan penyertaan, sekali gus mencerminkan minat kukuh terhadap MIHAS sebagai platform perdagangan halal global.

Kategorinasional

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.