SHAH ALAM, 28 NOV: Sebanyak 49 fasiliti kesihatan terkesan susulan banjir yang semakin meluas, dengan 19 daripadanya terpaksa ditutup dan operasi dipindahkan, kata Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad.
Beliau berkata berdasarkan laporan Pusat Kesiapsiagaan dan Tindak Cepat Krisis (CPRC) Kebangsaan setakat 3 petang semalam, 27 fasiliti masih beroperasi dengan pelarasan manakala tiga klinik di Perlis tidak dapat beroperasi.
“Sebanyak 345 pasukan perubatan dan kesihatan telah digerakkan ke kawasan terjejas bagi memastikan perkhidmatan rawatan terus berjalan,” katanya menerusi kenyataan di Facebook.
Beliau berkata tujuh negeri yang masih dilanda banjir ialah Kelantan, Perak, Kedah, Perlis, Terengganu, Selangor dan Pahang, membabitkan 27,955 mangsa di 222 pusat pemindahan sementara (PPS).
Setakat semalam, 2,083 mangsa menerima rawatan, meliputi:
• 376 kes jangkitan saluran pernafasan akut (ARI)
• 92 kes jangkitan kulit
• 15 kes gastroenteritis akut (AGE)
• 4 kes konjunktivitis
Bagaimanapun,Dr Dzulkefly mengesahkan tiada wabak dikesan di mana-mana PPS namun ada dua kematian berkaitan banjir dilaporkan di Kelantan.
Beliau turut mengingatkan orang ramai supaya menjaga kebersihan diri, menggunakan air bersih, serta mendapatkan rawatan segera sekiranya mengalami gejala demam, muntah atau cirit-birit bagi mengelak penularan penyakit.
Semalam, Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) meramalkan Selangor, Perak dan sebahagian Pahang berdepan ribut tropika Senyar bermula tengah malam tadi sehingga Ahad, dengan kelajuan angin maksimum sehingga 50 km/j.
Ketua Pengarah MetMalaysia Dr Mohd Hisham Mohd Anip berkata ribut tropika yang berlaku julung kali di perairan Selat Melaka itu dijangka membawa hujan melebihi 200mm dalam tempoh 24 jam.



