SHAH ALAM, 27 NOV: Tiga pam bergerak berkapasiti tinggi siap dipasang dan beroperasi di tiga lokasi kritikal di daerah Kuala Selangor bagi mengurangkan impak banjir yang sedang berlaku.
Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Negeri Selangor memaklumkan, pemasangan pertama di Kampung Parit Mahang melibatkan pam hidraulik berkapasiti 10 cusec (280 liter/sesaat) oleh JPS Daerah Kuala Langat bagi mengawal dan menurunkan aras banjir di kawasan tersebut.
Di Rumah Pam Jaya Setia, Bestari Jaya, JPS Negeri melalui Bahagian Mekanikal dan Elektrikal (BPME) turut menyiapkan pemasangan pam hidraulik berkapasiti 5 cusec (140 l/s) bagi mengawal aras banjir di Kampung Jaya Setia.
Sementara itu, di Ban RB Kampung Ampangan, Tanjung Karang, BPME JPS Selangor melaksanakan pemasangan pam hidraulik berkapasiti 10 cusec (280 l/s) sebagai langkah mengawal paras air di kawasan berkenaan.
“JPS Negeri Selangor turut sedang dalam tindakan memasang pam bergerak di beberapa lokasi kritikal di daerah Kuala Selangor bagi memastikan impak banjir dapat dikurangkan,” katanya menerusi kenyataan di Facebook.
JPS memaklumkan orang ramai yang memerlukan maklumat lanjut boleh menghubungi Hotline JPS Selangor di talian 03-5544 7376.


