SHAH ALAM, 27 NOV: Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) menyasarkan peluasan sebanyak 350 kelas prasekolah di seluruh negara, termasuk di kawasan luar bandar dan pedalaman pada tahun depan.
Timbalan Menteri Pendidikan, Wong Kah Woh berkata usaha itu sebagai persediaan menjadikan prasekolah sebagai pendidikan wajib menjelang tahun 2030.
Beliau menambah, usaha ini juga sebahagian daripada agenda Reformasi Pendidikan KPM bagi memperluas peluang pendidikan awal kepada semua kanak-kanak, lapor BuletinTV3.
“Sehingga kini, terdapat 10,197 buah kelas prasekolah di seluruh negara, merangkumi 6,368 institusi KPM, dan daripada jumlah ini, 3,222 institusi bersamaan 50.6 peratus terletak di bandar, manakala baki 3,146 institusi atau 49.4 peratus berada di luar bandar dan pedalaman,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.
Tambahnya, peluasan kelas bukan hanya tertumpu pada sekolah rendah, tetapi turut diperluas ke sekolah menengah, kolej vokasional (KV), dan kampus Institut Pendidikan Guru (IPG) yang memiliki kemudahan sesuai.
Sebanyak 150 kelas baharu dilaksanakan pada 2025 melalui baik pulih dan pengubahsuaian ruang sedia ada, serta dilengkapi dengan peralatan pendidikan awal, sebelum pelaksanaan peluasan berskala lebih besar pada tahun berikutnya.
Wong berkata, KPM juga menggunakan Standard Kualiti Prasekolah Kebangsaan (SKPK) sebagai instrumen pemantauan bagi memastikan PdP, pengurusan sekolah, dan kemudahan fizikal berada pada tahap optimum serta konsisten antara bandar dan luar bandar.
“Proses ini meliputi pemantauan terhadap pengoperasian sekolah, PdP, dan bimbingan kepada guru, serta pemimpin dan pentadbir sekolah.
“Ini bagi memastikan pemantauan yang dilaksanakan adalah sistematik, terukur, dan konsisten, seterusnya meningkatkan kualiti pengajaran serta persekitaran pembelajaran murid prasekolah,” katanya.




