ad

Lelaki ceroboh asrama didakwa lakukan gangguan seksual terhadap tiga pelajar

27 Nov 2025, 8:12 AM
Lelaki ceroboh asrama didakwa lakukan gangguan seksual terhadap tiga pelajar

HULU SELANGOR, 27 NOV: Seorang lelaki ditahan polis selepas disyaki melakukan gangguan seksual terhadap tiga pelajar perempuan di sebuah sekolah berasrama di sini ketika mereka tidur.

Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superintenden Ibrahim Husin berkata, suspek ditahan susulan tiga laporan diterima daripada mangsa pada jam 4.16 petang, Rabu lalu.

Menurutnya, siasatan awal mendapati lelaki berusia 48 tahun itu dipercayai menceroboh masuk ke dalam asrama sebelum menyentuh ketiga-tiga pelajar perempuan berumur 16 tahun ketika mereka tidur di katil masing-masing.

“Suspek menyentuh mangsa ketika mereka tidur. Kejadian dilaporkan berlaku di dalam premis asrama,” katanya dalam kenyataan hari ini, lapor Sinar Harian.

Tambahnya, semakan mendapati suspek tidak mempunyai rekod jenayah lampau.

Suspek dibawa ke Mahkamah Majistret Kuala Kubu Bharu hari ini bagi permohonan reman dan kes disiasat mengikut Seksyen 14 Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017.

Sabit kesalahan boleh dihukum penjara sehingga 20 tahun atau dikenakan sebatan.