ad

82 peratus kes bunuh diri libatkan lelaki, belia paling ramai terjejas

27 Nov 2025, 2:38 AM
82 peratus kes bunuh diri libatkan lelaki, belia paling ramai terjejas
82 peratus kes bunuh diri libatkan lelaki, belia paling ramai terjejas

PUTRAJAYA, 27 NOV: Golongan lelaki, khususnya belia berumur 15 hingga 30 tahun, merekodkan peratusan tertinggi dalam kes bunuh diri di negara ini sejak 2020 sehingga Oktober tahun ini.

Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh, berkata daripada 5,857 kes direkodkan dalam tempoh itu, 82 peratus melibatkan lelaki manakala bakinya wanita.

“Sebanyak 1,813 kes melibatkan golongan belia. Statistik ini membimbangkan kerana menunjukkan lelaki muda menjadi kumpulan paling berisiko,” katanya selepas mempengerusikan Persidangan Meja Bulat Belia, Bantuan Awal Menangani Tingkah Laku Bunuh Diri Belia yang berlangsung secara tertutup, semalam.

Beliau menjelaskan stigma sosial menjadi halangan utama golongan belia untuk mendapatkan sokongan awal berkaitan kesihatan mental dan kecenderungan membunuh diri.

“Masalah utama yang dikenal pasti ialah stigma. Belia takut untuk mendapatkan bantuan kerana bimbang dilabel lemah atau bermasalah, terutama di tempat kerja dan institusi pendidikan,” ujarnya.

Katanya, antara pihak yang didakwa memberi label negatif termasuk ahli keluarga, rakan sekerja, guru, pensyarah dan majikan, malah ada juga dalam kalangan Ahli Parlimen.

“Ada peserta berkongsi pengalaman dilabel oleh pensyarah, adik-beradik, rakan sekolah dan juga majikan. Malah, ada yang memperlekehkan isu kesihatan mental dengan menjadikan ‘Hospital Bahagia’ sebagai bahan jenaka,” jelasnya lagi.

Tambah beliau, sikap mempersendakan isu kesihatan mental dalam kalangan wakil rakyat sewaktu perbahasan di Parlimen menunjukkan kurangnya empati terhadap realiti yang dihadapi belia.

Jelas Hannah, ramai lelaki yang menghubungi talian bantuan seperti hotline juga berasa takut untuk bersuara dan menyembunyikan keadaan sebenar kerana malu dan bimbang disalah erti.

“Mereka takut bercakap. Jika tidak ditangani secara berhemah, kita mungkin menganggap ia sekadar panggilan palsu, padahal ia adalah panggilan untuk memohon pertolongan,” katanya.

Sebagai langkah proaktif, Kementerian Belia dan Sukan akan melengkapkan buku panduan ringkas bagi menangani kecenderungan membunuh diri dalam kalangan belia, yang dijangka siap hujung tahun ini.

Buku itu bertujuan menyediakan panduan awal kepada golongan terlibat agar bantuan dapat disalurkan lebih cepat sebelum situasi menjadi lebih parah.

Mengulas lanjut, beliau memaklumkan kes tertinggi direkodkan di kawasan bandar meliputi Selangor, Johor, Kuala Lumpur dan Pulau Pinang, sejajar dengan kepadatan penduduk dan tekanan hidup yang tinggi di kawasan berkenaan.