SHAH ALAM, 27 NOV: Pindaan undang-undang berkaitan nafkah ibu bapa yang dijangka dibentang di Dewan Rakyat tahun depan perlu diteliti secara menyeluruh bagi mengelak konflik keluarga termasuk potensi saman-menyaman antara ibu bapa dan anak.
Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM), Musa Awang, berkata isu tersebut melibatkan aspek emosi serta hubungan kekeluargaan, justeru perincian rapi diperlukan sebelum pindaan dimuktamadkan.
Bagaimanapun, beliau menyokong usaha itu kerana mampu memberi manfaat kepada ibu bapa yang semakin berusia dan tidak lagi berupaya mencari pendapatan.
“Secara khususnya, pindaan ini boleh disokong dan diusahakan. Sekarang ramai anak-anak yang berhijrah dan tidak tinggal sekali dengan ibu bapa. Jadi pindaan ini menjurus kepada perkara positif.
“Cuma isunya dari segi hubungan. Bila dikuatkuasakan, boleh dibawa ke mahkamah. Ibu bapa akan saman anak-anak untuk tuntut nafkah. Mungkin timbul kekeruhan, jadi ini perlu dipertimbangkan juga,” katanya kepada Media Selangor.
Semalam, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar berkata pindaan berkenaan dirangka bagi memastikan kewajipan anak menanggung nafkah ibu bapa uzur dapat dilaksanakan seiring persediaan negara menuju status negara tua menjelang 2030.
Beliau berkata, advokasi awam akan diteruskan sementara menunggu pindaan terhadap undang-undang Mahkamah Syariah dan Undang-Undang Keluarga Islam dimuktamadkan.
Selain itu, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) turut melakukan semakan menyeluruh terhadap Undang-Undang Keluarga Islam 1984, termasuk keperluan memperincikan peruntukan nafkah ibu bapa supaya lebih selaras dengan keperluan semasa masyarakat Islam di negara ini.




