Ibu bapa pintu tengah syurga, raih ganjaran dunia akhirat

19 Dis 2025, 4:00 AM
Ibu bapa pintu tengah syurga, raih ganjaran dunia akhirat
Ibu bapa pintu tengah syurga, raih ganjaran dunia akhirat
Ibu bapa pintu tengah syurga, raih ganjaran dunia akhirat

Dalam kehidupan bermasyarakat, tanggungjawab seorang anak terhadap ibu bapa bukan sahaja berbentuk kasih sayang, malah kewajipan yang diatur oleh syariat Islam.

Islam menekankan penghormatan, ketaatan dan pemeliharaan kebajikan ibu bapa, lebih-lebih lagi apabila mereka berada dalam keadaan uzur dan memerlukan sokongan fizikal serta kewangan.

Namun, realitinya tidak semua anak mampu atau sudi menunaikan tanggungjawab ini secara sukarela.

Justeru, keperluan penggubalan undang-undang bagi memastikan anak-anak menunaikan nafkah kepada ibu bapa yang uzur menjadi relevan dari perspektif sosial dan agama.

Al-Quran dengan jelas menekankan hak ibu bapa atas anak-anak mereka. Firman Allah dalam ayat ke-23, Surah Al-Isra’: "Dan Tuhanmu telah memerintahkan supaya kamu jangan menyembah selain Dia dan hendaklah kamu berbuat baik kepada ibu bapa. Jika salah seorang dari keduanya atau kedua-duanya sampai berumur lanjut dalam pemeliharaanmu, janganlah kamu mengatakan kepada keduanya perkataan ‘ah’ dan janganlah kamu membentak mereka, tetapi ucapkanlah kepada mereka perkataan yang mulia."

Ayat ini menunjukkan penghormatan kepada ibu bapa bukan sekadar kata-kata manis, tetapi merangkumi penjagaan, perhatian, dan pemeliharaan hak mereka.

Apabila ibu bapa uzur, tanggungjawab anak meningkat kerana mereka memerlukan sokongan dari segi fizikal, emosi dan kewangan.

Rasulullah SAW bersabda dalam hadis yang diriwayatkan Ibn Majah (2089): “Ibu bapa itu merupakan pintu tengah daripada pintu-pintu syurga; maka peliharalah kedua-dua ibu bapamu.”

Hadis ini mengaitkan kebaikan terhadap ibu bapa dengan keberkatan hidup seorang anak, termasuk kesejahteraan dunia dan akhirat.

Selain itu, hadis lain menyatakan memberi nafkah kepada ibu bapa adalah sebahagian daripada ketaatan kepada Allah.

Dengan demikian, menunaikan nafkah ibu bapa uzur bukan sahaja tanggungjawab moral, tetapi juga satu ibadah yang mendapat ganjaran besar di sisi Allah.

Layanan mesra di rumah jagaan warga emas di Taman Sri Watan, Ampang pada 7 Oktober 2025. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/MEDIA SELANGOR

Uwais al-Qarni jadi teladan

Kisah Uwais al-Qarni menonjolkan betapa tinggi darjat seorang hamba yang menunaikan hak ibu bapanya. Imam Muslim (2542) ada meriwayatkan Uwais al-Qarni adalah seseorang yang tidak sempat bertemu Nabi Muhammad SAW tetapi mendapat pujian baginda, terkenal kerana pengorbanannya menjaga ibunya yang uzur hingga akhir hayat.

Kisah beliau menunjukkan ketaatan kepada ibu bapa diutamakan melebihi amalan lain, termasuk jihad atau ibadah besar lain, jika ibadah tersebut tidak menjejaskan tanggungjawab terhadap ibu bapa.

Ini memberi pengajaran bahawa pemeliharaan ibu bapa adalah satu kewajipan yang wajib dilaksanakan secara praktikal.

Walaupun agama jelas mewajibkan anak menunaikan nafkah, realitinya tidak semua anak mampu atau bersedia mematuhi tanggungjawab ini.

Faktor sosio-ekonomi, konflik keluarga dan kurangnya kesedaran agama boleh menyebabkan ibu bapa uzur terabai. Di sinilah keperluan undang-undang muncul. Undang-undang dapat:

Pertama, memberi perlindungan kepada ibu bapa yang tidak mampu menuntut hak mereka secara persendirian.

Kedua, menetapkan garis panduan jelas tentang tanggungjawab anak dari segi kewangan, penjagaan kesihatan, dan pengurusan hidup harian ibu bapa.

Ketiga, mewujudkan kesan pemulihan sosial melalui tindakan perundangan bagi mereka yang ingkar.

Pengurus Pusat Jagaan Sri Mesra (Mesra Home) Faezah Ali menghibur penghuni dangan nyanyian dan tarian ketika tinjauan Media Selangor di Pusat Jagaan Sri Mesra (Mesra Home), Ampang Jaya pada 28 Ogos 2025. Foto FIKRI YUSOF/MEDIA SELANGOR

Nafkah dari segi perundangan

Undang-undang mengenai nafkah anak kepada ibu bapa yang uzur harus mempertimbangkan beberapa syarat supaya ia adil dan praktikal:

Pertama, definisi uzur dan keperluan. Ibu bapa yang layak menerima nafkah mestilah dalam keadaan uzur, iaitu tidak mampu menampung hidup sendiri secara sepenuhnya.

Kedua, keupayaan anak. Tanggungjawab nafkah mesti disesuaikan dengan kemampuan anak dari segi ekonomi dan fizikal. Undang-undang perlu fleksibel agar tidak membebankan anak secara melampau.

Ketiga, jenis nafkah. Nafkah boleh berbentuk kewangan, perubatan dan penjagaan harian. Undang-undang harus menjelaskan hak-hak ini supaya tidak timbul salah faham.

Keempat, proses penetapan dan penguatkuasaan. Harus ada mekanisme mahkamah atau jabatan sosial untuk menilai kes, mengeluarkan perintah nafkah, dan memantau pelaksanaan.

Kelima, insentif dan hukuman. Undang-undang boleh menyediakan insentif bagi mereka yang menunaikan tanggungjawab secara sukarela dan hukuman bagi mereka yang ingkar, termasuk penalti kewangan.

Nafkah anak kepada ibu bapa yang uzur adalah kewajipan yang jelas disyariatkan dalam al-Quran dan hadis. Kisah Uwais al-Qarni menunjukkan bahawa menunaikan hak ibu bapa adalah satu bentuk ibadah yang tinggi darjatnya di sisi Allah.

Walaupun kewajipan ini bersifat agama, realitinya ada anak yang lalai atau tidak mampu menunaikannya secara sukarela. Oleh itu, penggubalan undang-undang menjadi penting untuk memastikan ibu bapa uzur tidak terabai.

Undang-undang tersebut mestilah mengambil kira kemampuan anak, jenis nafkah, definisi uzur dan mekanisme penguatkuasaan yang adil.

Dengan cara ini, tanggungjawab anak terhadap ibu bapa bukan sahaja dijaga dari segi moral dan agama, tetapi juga dari segi sosial dan undang-undang, mewujudkan masyarakat yang bertanggungjawab dan berakhlak mulia.