SHAH ALAM, 28 NOV: Aktiviti ‘healing’, trekking dan mandi air terjun semakin menjadi pilihan rakyat Selangor, khususnya golongan muda yang gemar menjadikan kawasan hutan sebagai lokasi rekreasi hujung minggu untuk melepaskan tekanan dan berehat daripada kesibukan kota.
Namun, di sebalik peningkatan trend berkenaan, Jabatan Perhutanan Negeri Selangor (JPNS) mendapati masih ramai pengunjung memasuki hutan simpan tanpa permit, sekali gus menimbulkan kebimbangan dari segi keselamatan dan pemeliharaan alam sekitar.
Pengarah JPNS, Azhar Ahmad berkata lebih 150 tangkapan direkodkan sepanjang 2024 hingga 2025, majoritinya membabitkan pendaki dan pengunjung yang memasuki hutan tanpa kebenaran.
“Kita dapati kebanyakan kes ialah individu yang masuk untuk rekreasi tanpa permit. Permit ini bukan untuk menyusahkan, tetapi untuk memastikan keselamatan mereka dan memudahkan pemantauan,” katanya dalam program Bicara Semasa, terbitan Media Selangor.
Bagi memudahkan orang ramai, JPNS memperkenalkan sistem e-permit dalam talian SEFOREST dengan caj hanya RM5 seorang.
Selain itu, pendakian melebihi 600 meter dari aras laut turut diwajibkan menggunakan khidmat malim gunung bagi tujuan keselamatan.

Ketetapan itu dibuat susulan beberapa insiden kecemasan termasuk kes seorang pendaki lelaki yang meninggal dunia ketika cuba menyelamatkan rakan wanitanya di Lata Medang, Hulu Selangor.
“Pendakian 600 meter dan ke atas memerlukan kepakaran. Kita mahu mereka pergi dengan selamat dan balik dengan selamat,” jelasnya.
‘War Room’ dan imej satelit bantu kesan pencerobohan
Bagi memperkukuh penguatkuasaan, JPNS menubuhkan sebuah ‘War Room’, iaitu bilik kawalan yang dilengkapi teknologi pemantauan termasuk imej satelit beresolusi tinggi.
Kemudahan itu membolehkan jabatan mengesan pembukaan tanah baharu, laluan haram dan aktiviti pencerobohan secara masa nyata sebelum tindakan di lapangan diambil.
“Melalui imej satelit, kita boleh kesan pembukaan kawasan lebih awal. Maklumat itu terus dihantar kepada pegawai di lapangan untuk tindakan segera,” ujar Azhar.
Beliau berkata, inisiatif itu meningkatkan keberkesanan pemantauan dan berjaya mengurangkan cubaan penerokaan haram yang dilakukan secara tersembunyi.
Hutan tanggungjawab bersama
JPNS menegaskan bahawa usaha memelihara hutan bukan hanya tanggungjawab jabatan berkenaan, tetapi memerlukan kerjasama pengunjung, komuniti setempat dan pihak berkuasa tempatan.

“Hutan simpan ialah amanah untuk generasi akan datang. Jika kita tidak jaga hari ini, anak cucu kita tidak akan menikmati apa yang kita nikmati sekarang,” katanya.
Selangor kini memiliki lebih 250,000 hektar hutan simpan kekal yang menjadi benteng biodiversiti negeri dan penampan penting terhadap perubahan iklim.
Justeru, rakyat digesa agar mematuhi peraturan, menggunakan permit sah dan menghormati kawasan hutan sebagai khazanah negeri.
“Kita bukan hendak menghalang orang masuk hutan, kita hanya mahu ia dilakukan dengan selamat, terkawal dan selaras undang-undang.
"Hutan ialah milik semua dan menjaga hutan ialah tanggungjawab bersama,” tambahnya.


