ad

Tekanan hidup bukan alasan pukul isteri, lelaki diingatkan peranan penjaga wanita

26 Nov 2025, 11:00 AM
Tekanan hidup bukan alasan pukul isteri, lelaki diingatkan peranan penjaga wanita

SHAH ALAM, 26 NOV: Golongan lelaki diseru memahami bahawa wanita sepatutnya menjadi penenang dalam rumah tangga, bukan tempat melampiaskan tekanan atau kemarahan.

Timbalan Pengerusi Pertubuhan Kebajikan Amal Silaturahim Isteri-isteri Harapan Kasih Malaysia, Datin Seri Azlin Hezri menegaskan tekanan hidup tidak boleh dijadikan alasan untuk ‘naik tangan’ atau melakukan apa jua bentuk keganasan terhadap wanita.

Menurutnya, statistik menunjukkan kes keganasan rumah tangga dan penderaan terhadap wanita semakin membimbangkan dan perlu diberi perhatian serius dan berterusan.

“Lelaki atau suami ialah penjaga wanita. Mereka perlu memelihara, memberi nafkah, menyediakan tempat tinggal dan melindungi seperti dianjurkan dalam al-Quran.

Peserta mengikuti forum Hari Menangani Keganasan Terhadap Wanita bertajuk 'Wanita Mandiri, Cegah Sendiri, Kejayaan Menghampiri di Pusat Konvensyen Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA)  pada 26 November 2025. Foto REMY ARIFIN/MEDIA SELANGOR

“Bukan sekadar menyediakan makan atau nafkah zahir dan batin, tetapi juga menjaga emosi wanita. Nak marah isteri boleh, cuma jangan sampai merendah-rendahkan, menghilangkan atau menjatuhkan maruah wanita,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Program Sambutan Hari Menangani Keganasan Terhadap Wanita anjuran Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) di Pusat Konvensyen MBSA hari ini.

Azlin turut berharap program berkenaan menjadi titik tolak kepada tindakan berterusan, selain mengajak masyarakat lebih peka terhadap persekitaran sekiranya terdengar bunyi atau petanda seolah-olah berlaku penderaan.

“Kalau dahulu orang kata jangan menjaga tepi kain orang, tetapi sekarang kita perlu sesekali ambil tahu. Jangan sampai tiba-tiba jiran kita meninggal dunia akibat penderaan,” katanya.

Terdahulu, kira-kira 300 peserta menyertai program berkenaan yang turut menampilkan Forum Menangani Keganasan serta pameran agensi kerajaan.

Timbalan Pengerusi, Pertubuhan Kebajikan Amal Silaturahim Isteri-Isteri Harapan (Kasih Malaysia) Datin Seri Azlin Hezri melakukan gimik perasmian program Sambutan Hari Menangani Keganasan Terhadap Wanita di Pusat Konvensyen Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA)  pada 26 November 2025. Foto REMY ARIFIN/MEDIA SELANGOR