ad

Serangan terhadap wartawan Haresh Deol berpunca isu peribadi

26 Nov 2025, 7:19 AM
Serangan terhadap wartawan Haresh Deol berpunca isu peribadi

SHAH ALAM, 26 NOV: Polis mengesahkan serangan terhadap wartawan sukan, Haresh Deol, di Bangsar semalam dipercayai berpunca daripada isu peribadi.

Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Hoo Chang Hook, berkata suspek merupakan seorang lelaki tempatan berusia 37 tahun dan penganggur, lapor Berita Harian.

“Motif setakat ini lebih kepada hal peribadi. Kes masih dalam siasatan dan orang ramai diminta tidak membuat sebarang spekulasi sehingga siasatan selesai,” katanya.

Suspek ditahan di Taman Ikan Emas kira-kira jam 2 pagi tadi dan direman selama tiga hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 323 dan Seksyen 506 Kanun Keseksaan.

Semalam, polis menerima laporan daripada Haresh di Pondok Polis Bangsar pada jam 4 petang. Kejadian berlaku di Jalan Maarof, berhampiran parkir sebuah pusat beli-belah, ketika wartawan portal itu sedang berjalan di kaki lima menuju ke Jalan Telawi.

Menurut Haresh dalam hantaran di laman X, beliau diserang oleh dua lelaki, manakala seorang lagi merakam insiden tersebut menggunakan telefon bimbit.