SHAH ALAM, 26 NOV: EXCO Kebajikan Masyarakat Anfaal Saari turun menziarahi beberapa pusat pemindahan sementara (PPS) bagi memastikan mangsa banjir menerima bantuan segera dan urusan operasi berjalan lancar.
Menerusi rakaman video, Anfaal memaklumkan antara PPS yang dilawati ialah SK Sungai Serai di Hulu Langat dan SK Desa Aman di Ijok, selain meninjau kawasan Taman Saujana Aman yang terjejas akibat limpahan sungai.
Beliau turut bertemu Dato’ Setiausaha Kerajaan Negeri bagi memantau proses pembersihan rumah penduduk yang sedang giat dijalankan.
“Syukur diberi kekuatan untuk bersama rakyat dalam waktu genting ini. Keletihan ini tidak seberapa berbanding cabaran keluarga terjejas,” katanya.
Ahli Dewan Negeri Taman Templer itu turut mendoakan urusan semua mangsa dipermudah selain merakamkan penghargaan kepada petugas barisan hadapan.
“Berat mata memandang, berat lagi bahu mereka memikul. Semoga Allah mempermudah urusan mangsa dan menggantikan kehilangan dengan rezeki lebih baik.
“Terima kasih kepada semua petugas barisan hadapan, JKM, bomba, polis, APM, RELA, PBT, sukarelawan dan NGO yang terus membantu tanpa mengira penat,” katanya.




