SHAH ALAM 26 NOV: Seorang anggota polis ditahan selepas pikap dipandunya bertembung dengan dua motosikal di Jalan Persiaran Wawasan berhampiran Kompleks Seri Putera, Kangar malam tadi hingga menyebabkan seorang penunggang maut dan seorang lagi cedera parah.
Ketua Polis Daerah Kangar, Asisten Komisioner Yusharifuddin Mohd Yusop berkata kejadian berlaku sekitar jam 10.20 malam ketika kenderaan polis berkenaan sedang melakukan rondaa lapor Harian Metro.
“Siasatan awal mendapati kemalangan dipercayai berpunca daripada kecuaian pemandu pikap polis itu.
“Penunggang motosikal berusia 24 tahun maut, manakala seorang lagi penunggang berusia 25 tahun cedera. Ketika kejadian mereka dalam perjalanan dari Seriab menuju ke kawasan Gua Sami,” katanya.
Beliau berkata anggota yang memandu pikap terbabit sudah ditahan bagi membantu siasatan lanjut.
Polis turut meminta saksi kejadian tampil menyalurkan maklumat bagi melancarkan siasatan.
Mayat mangsa dihantar ke Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar untuk bedah siasat.
Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Yusharifuddin turut menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh menjejaskan ketenteraman awam.




