ad

Selangor lulus bantuan sewa rumah fasa ketiga untuk mangsa kebakaran Putra Heights

25 Nov 2025, 1:34 PM
Selangor lulus bantuan sewa rumah fasa ketiga untuk mangsa kebakaran Putra Heights

SHAH ALAM, 25 NOV: Kerajaan Negeri meluluskan pelaksanaan Bantuan Sewa Rumah Sementara Fasa Ketiga bagi membantu mangsa kebakaran paip gas di Putra Heights, Subang Jaya.

Kelulusan itu dibuat dalam Mesyuarat Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) yang bersidang pagi tadi, susulan keperluan bantuan sewa rumah bagi tempoh Oktober hingga Disember 2025 seperti dilaporkan Pejabat Daerah.

Fasa ketiga bantuan tersebut melibatkan 123 ketua isi rumah (KIR) dengan jumlah peruntukan keseluruhan RM738,000.

Menurut EXCO Perumahan, Datuk Borhan Aman Shah, pembayaran bantuan akan disalurkan oleh Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor (LPHS) dalam masa terdekat.

Beliau berkata kelulusan itu mencerminkan komitmen berterusan Kerajaan Negeri untuk memastikan kebajikan mangsa kebakaran sentiasa diberi perhatian.

“Kerajaan Negeri mahu memastikan mangsa dapat kembali ke rumah masing-masing apabila keadaan benar-benar pulih dan selamat,” katanya dalam kenyataan.

Sebelum ini, bagi Fasa Pertama, seramai 365 ketua isi rumah menerima Bantuan Sewa Rumah Sementara bagi tempoh April hingga Jun dengan peruntukan berjumlah RM2.19 juta.

Kerajaan Negeri turut meluluskan bantuan sewa bagi tempoh Julai hingga September, melibatkan 144 ketua isi rumah dengan jumlah pembayaran keseluruhan sebanyak RM864,000.

Pada 1 April lalu Insiden kebakaran saluran gas di Putra Heights mengakibatkan 81 rumah musnah sepenuhnya dengan kerosakan struktur melebihi 40 peratus, manakala 81 lagi separa musnah dan 57 unit terkesan tetapi tidak terbakar.