ad

Hampir 47,000 terjejas akibat Lekukan Tropika Verbena di Filipina

25 Nov 2025, 8:49 AM
Hampir 47,000 terjejas akibat Lekukan Tropika Verbena di Filipina

MANILA, 25 NOV (Bernama-PNA): Hampir 47,000 orang setakat ini terjejas akibat kesan gabungan Lekukan Tropika Verbena dan garis ricih yang sedang berlaku, lapor Agensi Berita Filipina (PNA) memetik Majlis Pengurusan dan Pengurangan Risiko Bencana Kebangsaan (NDRRMC) pada Selasa.

Dalam laporan situasi terbaharunya, NDRRMC berkata sejumlah 46,923 individu yang terjejas, bersamaan 15,363 keluarga berasal dari 44 barangay (kampung) di Wilayah 13 (Caraga).

Sehingga pagi Selasa, 485 keluarga ditempatkan di 19 pusat pemindahan, manakala 14 keluarga lagi menerima bantuan di lokasi lain.

Kira-kira 59 pelabuhan di lima wilayah telah menggantung operasi pelayaran berikutan cuaca buruk, menurut NDRRMC.

Tiada kematian atau kerosakan dilaporkan.

Setakat 7 pagi waktu tempatan, Lekukan Tropika Verbena dikesan berada di Canlaon City, Negros Oriental, bergerak ke arah barat laut pada kelajuan 20 kilometer sejam. Ia mendarat di Talisay, Cebu pada 2.40 pagi.

Pentadbiran Perkhidmatan Atmosfera, Geofizik dan Astronomi Filipina (PAGASA) telah mengeluarkan Isyarat Angin Siklon Tropika No. 1 di beberapa kawasan berikutan Verbena.