ad

PRN Sabah: Sentimen pengundi positif meskipun HARAPAN berdepan banyak penjuru – Amirudin

26 Nov 2025, 12:00 AM
PRN Sabah: Sentimen pengundi positif meskipun HARAPAN berdepan banyak penjuru – Amirudin
PRN Sabah: Sentimen pengundi positif meskipun HARAPAN berdepan banyak penjuru – Amirudin
PRN Sabah: Sentimen pengundi positif meskipun HARAPAN berdepan banyak penjuru – Amirudin
PRN Sabah: Sentimen pengundi positif meskipun HARAPAN berdepan banyak penjuru – Amirudin

SHAH ALAM, 26 NOV: Meskipun berdepan dengan banyak penjuru, sentimen pengundi terhadap Pakatan Harapan (HARAPAN) menjelang minggu terakhir kempen pilihan raya kecil Negeri (PRN) 29 November ini agak baik, kata Naib Presiden KEADILAN Dato’ Seri Amirudin Shari.

Menteri Besar Selangor itu berkata populariti Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menjadi kekuatan terhadap sokongan rakyat selain HARAPAN yang dilihat konsisten melaksanakan dasar-dasar menyentuh keperluan rakyat.

“Sentimen rakyat agak baik terutamanya terhadap Kerajaan Madani dan juga kepada parti-parti HARAPAN. Tidak ada penolakan yang serius tetapi kita perlu berdepan cabaran bersaing beberapa penjuru dengan parti lawan,” katanya kepada Media Selangor pada Majlis Pelancaran Manifesto PH Sabah pada minggu lalu.

Tambahnya, kekuatan utama gabungan parti ini turut bersandarkan keyakinan rakyat berdasarkan pencapaian Anwar Ibrahim mengemudi Putrajaya sejak tiga tahun lalu.

“Imej tarikan kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim sangat tinggi berdasarkan komitmen dan apa yang telah dilaksanakan oleh Perdana Menteri dalam tiga tahun kebelakangan ini,” ujar beliau.

Justeru, semua penyokong dan jentera parti agar terus fokus dalam menyampaikan maklumat yang benar serta mengelak daripada terjebak dengan provokasi politik.

Pilihan raya negeri yang berlangsung kali ini katanya menjadi indikator penting terhadap penerimaan rakyat kepada Kerajaan Perpaduan.

Dalam masa sama, Amirudin yakin penglibatan lebih besar HARAPAN dalam kerajaan akan membawa impak yang lebih mendalam kepada rakyat.

“Kita yakin kalau kita ada penglibatan yang lebih besar dan lebih serius dalam kerajaan. Kali ini jika kita dapat terlibat dengan lebih aktif, sebab itu kemenangan sebahagian besar calon-calon kita itu akan memberikan kesan yang lebih besar kepada kehadiran kita dalam kerajaan.

“Hubungan yang baik di antara kerajaan negeri dan kerajaan persekutuan akan menjadi jambatan, menjamin keselamatan rakyat secara keseluruhan, menjamin kemakmuran dengan memastikan tatakelola yang baik, dan juga menjamin kebahagiaan yang adil,” katanya.

Sebanyak 3,000 petugas pasukan lapangan KEADILAN bersiap sedia untuk mendekati rakyat pada PRN Sabah kali ini.

Pakatan Harapan Sabah melancarkan manifesto dengan tema Harapan Urang Sabah.

Antaranya adalah tuntutan pengurusan 40 peratus hasil negeri bagi kebaikan rakyat, reformasi pentadbiran melalui penstrukturan semula Kabinet selain menawarkan 20,000 peluang pekerjaan untuk golongan muda.

Pada 29 November ini, lebih 1.7 juta rakyat Sabah bakal memilih kerajaan baharu dengan menyaksikan perebutan 73 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).