SHAH ALAM, 25 NOV: Orang ramai terutama di kawasan mudah dinaiki air diingatkan mengambil langkah keselamatan awal bagi mengelakkan risiko berlakunya banjir terutama pada musim hujan ketika ini.
Antara langkah utama adalah menghubungi bomba dengan segera sekiranya paras air mula naik di sekitar kediaman.
Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor Ahmad Mukhlis Mokhtar turut menasihatkan penduduk keluar lebih awal ke kawasan selamat bagi mengelak kejadian tidak diingini termasuk terperangkap di dalam rumah.
Beliau berkata penduduk juga diingatkan mengenal pasti laluan keluar yang selamat serta mengelak kawasan berbahaya seperti longkang, parit dalam atau lubang saliran yang tidak kelihatan apabila air keruh atau banjir.
"Jika air naik mendadak, orang ramai digesa bergerak ke kawasan lebih tinggi seperti tingkat atas rumah atau bumbung sementara menunggu bantuan pasukan penyelamat.

"Selain itu, setiap isi rumah digalakkan menyediakan kit keselamatan untuk kecemasan terutama ketika banjir," katanya ketika hadir ke program Bicara Semasa terbitan Media Selangor.
Tambah beliau, antara cabaran pasukan penyelamat adalah sikap segelintir mangsa yang tidak mahu keluar kerana menyangka keadaan masih terkawal.
“Kata mereka dah biasa, air naik paras lutut tapi bila berlaku banjir seperti 2021, air sampai ke bumbung.
"Hubungi pasukan penyelamat dan berikan maklumat tepat, sementara itu selamatkan diri dengan pergi ke tempat tinggi,” katanya.
Menurutnya, dalam aspek penyelamatan pihaknya akan melihat keadaan dan keperluan mangsa terlebih dahulu.
"Dalam menyelamatkan mangsa kita melihat mereka yang berdepan keadaan sukar atau genting seperti air sudah naik ke bumbung berbanding air pada paras lutut," katanya.
Ketika ini Selangor antara negeri dilanda banjir dan setakat pagi tadi, 2,697 mangsa daripada 740 keluarga dipindahkan ke 19 Pusat Pemindahan Sementara (PPS). Antara daerah terjejas adalah di Klang, Shah Alam, Hulu Langat, Sabak Bernam dan Kuala Selangor.
Antara PPS beroperasi adalah di Dewan Sri Sekinchan dan Dewan Sri Bernam (Sabak Bernam); Pusat Perkhidmatan JKKK Kampung Jaya Setia (Bestari Jaya); Sekolah Kebangsaan Sungai Serai (Hulu Langat); Sekolah Kebangsaan Seksyen 16 dan Masjid Al-Falah Kampung Budiman (Shah Alam) serta Sekolah Kebangsaan (SK) Rantau Panjang dan Dewan Kemuning Utama (Klang).
Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Amirudin Shari berkata Kerajaan Negeri akan mengumumkan bantuan kepada mangsa hari ini, termasuk sesi taklimat khas pengurusan banjir bagi memastikan tindakan lebih teratur di peringkat lapangan.
Amirudin berkata Kerajaan Negeri memantau rapi perkembangan banjir di beberapa daerah dan mengarahkan EXCO serta pegawai agensi berkaitan turun ke lapangan bagi menyantuni mangsa terjejas.
EXCO Pengurusan Bencana, Mohd Najwan Halimi turun padang menyantuni mangsa banjir di PPS Sekolah Kebangsaan Seksyen 16, Shah Alam jam 8 malam tadi.

Beliau berkata Kerajaan Negeri akan memastikan mangsa banjir di PPS mendapat makanan mencukupi dan tinggal dalam keadaan selesa sementara menunggu banjir surut.
Beliau turut menasihatkan penduduk di kawasan berisiko agar sentiasa berwaspada dan mematuhi arahan pihak berkuasa.
Tips keselamatan untuk penduduk kawasan berisiko:
Hubungi bomba segera jika air mula naik
Keluar awal ke kawasan selamat, jangan tunggu air naik
Kenal pasti laluan selamat, elakkan kawasan longkang dan lubang
Jika air naik mendadak, naik ke tempat tinggi seperti tingkat atas rumah atau bumbung
Simpan kit keselamatan yang boleh digunakan ketika kecemasan
Jangan ambil mudah walaupun banjir biasanya paras lutut, kerana kejadian luar jangka boleh berlaku

Proses memindahkan penduduk terjejas pada 24 November 2025. Foto Facebook Bomba Sukarela Saujana Utama




