KANGAR, 25 NOV: Semua perkhidmatan tren penumpang di sektor utara masih beroperasi seperti biasa, namun terdapat kelewatan berikutan langkah keselamatan tambahan yang diambil bagi memastikan perjalanan penumpang kekal selamat.
Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) memaklumkan pihaknya sedang memantau rapi paras air di beberapa lokasi landasan kereta api di sektor utara berikutan hujan yang berterusan.
"Pasukan operasi KTMB berada di lapangan dan sentiasa bersiap siaga, manakala pemantauan dilakukan secara berterusan.
"KTMB akan mengemas kini maklumat terkini dari semasa ke semasa melalui saluran rasmi kami," menurut hantaran di Facebook.
Beberapa jalan di Perlis ditutup sementara hari ini akibat banjir berikutan hujan berterusan sejak semalam termasuk Jalan Stesen KTMB Arau.




