SHAH ALAM, 24 NOV: Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) membenarkan semua institusi pendidikan tinggi (IPT) yang terjejas akibat banjir beralih kepada kaedah pengajaran dan pembelajaran (PdP) secara dalam talian bagi memastikan proses akademik tidak terganggu.
Dalam kenyataan hari ini, KPT memaklumkan pihaknya memantau rapat perkembangan banjir di beberapa negeri Pantai Timur dan utara Semenanjung susulan hujan lebat berterusan sejak beberapa hari lalu.
Menurut kementerian itu, banjir kali ini bukan sahaja menjejaskan kawasan kediaman dan bandar, malah turut mengakibatkan beberapa IPT dinaiki air sehingga menimbulkan gangguan kepada operasi kampus serta pelaksanaan PdP.
“Bilik gerakan banjir di IPT terlibat turut diaktifkan bagi memudahkan pelajar, kakitangan dan ibu bapa mendapatkan maklumat terkini serta penyaluran bantuan segera seperti makanan, tempat perlindungan sementara dan keperluan asas,” jelas kenyataan itu.
KPT turut menasihatkan warga IPT yang berada di kawasan risiko agar mengutamakan keselamatan, mematuhi arahan pihak berkuasa dan berpindah ke lokasi selamat sekiranya perlu.
“Seluruh warga kementerian mendoakan agar mangsa di negeri terbabit diberikan kekuatan dan ketabahan menghadapi keadaan ini,” menurut kenyataan tersebut.
Sebelum ini, Jabatan Meteorologi Malaysia mengeluarkan amaran angin kencang serta hujan lebat berterusan di beberapa negeri utara dan barat Semenanjung sehingga esok.




