ad

Selangor wajibkan semua PBT sedia kemudahan mesra OKU

24 Nov 2025, 6:50 AM
Selangor wajibkan semua PBT sedia kemudahan mesra OKU
Selangor wajibkan semua PBT sedia kemudahan mesra OKU

SHAH ALAM, 24 Nov: Semua pihak berkuasa tempatan (PBT) di Selangor diwajibkan menyediakan kemudahan asas untuk orang kurang upaya (OKU) berdasarkan peruntukan undang-undang dan garis panduan yang ditetapkan.

EXCO Kerajaan Tempatan, Dato’ Ng Suee Lim berkata pindaan Undang-undang Kecil Bangunan Seragam (UKBS) 1984 melalui Seksyen 34A menetapkan setiap pembangunan baharu perlu menyediakan kemudahan asas OKU bagi memudahkan urusan golongan berkenaan.

“Selain itu, UKBS 1984 juga mewajibkan semua bangunan awam menyediakan akses bagi membolehkan OKU masuk, keluar dan berada dalam bangunan.

“Bagi bangunan baharu, PBT menggunakan senarai semak pematuhan UUK 34A UKBS 1984 yang disediakan berdasarkan standard MS1184:2014 yang merupakan mandatori di bawah UUK 34A(2).

“Bagi bangunan sedia ada pula, pematuhan dipantau melalui audit akses, semakan teknikal semasa permohonan pelan ubah suai atau naik taraf bangunan serta aduan orang awam,” katanya.

EXCO Kerajaan Tempatan, Dato’ Ng Suee Lim. Foto:REMY ARIFIN/MEDIA SELANGOR)

Beliau berkata demikian menjawab soalan wakil rakyat Batu Tiga, Danial Al-Rashid Haron Aminar Rashid berhubung penyediaan infrastruktur mesra OKU pada sidang Dewan Negeri Selangor (DNS), hari ini.

Suee Lim berkata beberapa PBT telah membangunkan garis panduan sendiri melalui Pelan Tindakan Bandar Bebas Halangan yang merangkumi penyediaan infrastruktur fizikal mesra OKU.

Selain itu, katanya, Dasar OKU Selangor yang bakal dilancarkan dalam masa terdekat akan menjadi dokumen rujukan utama bagi semua inisiatif berkaitan OKU di negeri ini, termasuk pelaksanaannya di peringkat PBT.

“Pihak pemaju yang gagal mematuhi syarat akses OKU boleh dikenakan tindakan undang-undang antaranya denda sehingga RM50,000 dan/atau penjara sehingga tiga tahun, atau kompaun bagi kesalahan di bawah undang-undang kecil PBT,” katanya.

Sebelum ini, Majlis Tindakan OKU Selangor dilaporkan berada pada fasa akhir penyediaan Dasar OKU Selangor.

Dasar itu dijangka memberi penekanan kepada kemudahan mesra OKU merangkumi ruang, laluan dan premis yang mudah diakses, khususnya melibatkan PBT.