SHAH ALAM, 24 NOV: Kerajaan Selangor akan menilai keperluan untuk memperluaskan program vaksinasi influenza ke lima lagi daerah pada tahun depan, bergantung kepada penilaian situasi semasa oleh Jabatan Kesihatan Negeri Selangor (JKNS).
EXCO Kesihatan Awam Jamaliah Jamaluddin berkata peluasan program itu akan memberi tumpuan kepada beberapa kumpulan dan kawasan keutamaan, berdasarkan keperluan ditentukan data.
“Antara fokus utama ialah pemberian vaksin akan diperluas ke sekolah rendah di daerah yang belum diliputi pada 2025, dengan keutamaan berdasarkan kadar insiden jangkitan influenza, kepadatan penduduk dan ketersediaan fasiliti vaksinasi.
“Sasaran turut melibatkan warga emas dan individu yang mempunyai penyakit kronik, selaras dengan usaha melindungi kumpulan berisiko tinggi daripada jangkitan influenza,” katanya.
Beliau menjawab soalan wakil rakyat Kota Damansara Muhammad Izuan Kasim yang ingin mengetahui adakah kerajaan mempunyai perancangan untuk memperluaskan ke daerah lain berkenaan program vaksin ini di Sidang Dewan Undangan Negeri di sini, hari ini.
Dalam pada itu, Jamaliah memberitahu Kerajaan Negeri juga akan memperkukuh kerjasama strategik bersama JKNS, Pejabat Kesihatan Daerah (PKD), serta klinik panel Selcare bagi memastikan pelaksanaan yang lebih menyeluruh dan berkesan.
“Kerajaan Selangor melalui Jawatankuasa Tetap Kesihatan Awam telah mula melaksanakan program imunisasi vaksin influenza kepada murid sekolah rendah berumur 8 tahun ke bawah.
“Ia bermula pada minggu kedua November 2025 di empat daerah yang mencatat kadar jangkitan influenza tertinggi iaitu Petaling, Klang, Gombak dan Hulu Langat,” ujarnya lagi.
Kerajaan Negeri memperkenalkan Program Vaksin Anak Selangor (SELVAKSIN) bermula 10 November lalu bagi menangani penularan wabak influenza yang semakin membimbangkan.
Inisiatif ini menawarkan suntikan vaksin influenza secara percuma kepada kanak-kanak berisiko tinggi sebagai langkah pencegahan awal bagi melindungi kesihatan golongan muda di negeri ini.
Menurut kenyataan SELGATE Healthcare, program itu terbuka kepada kanak-kanak berumur lapan tahun dan ke bawah yang mempunyai sekurang-kurangnya satu penyakit kronik atau komorbiditi.
Turut disyaratkan, penerima mestilah daripada keluarga kategori B40 dengan pendapatan isi rumah RM5,250 ke bawah serta telah menetap di Selangor sekurang-kurangnya 10 tahun.
Antara lokasi pemberian vaksin termasuk Selgate Specialist Hospital Rawang serta enam cawangan Selcare Clinic terpilih iaitu di UNISEL Shah Alam, Putrajaya, Puchong, Kota Damansara dan SkyPark Subang.




