SHAH ALAM, 24 Nov — Beberapa kawasan di sekitar Shah Alam dinaiki air awal pagi ini susulan hujan berterusan selama beberapa jam, sekali gus menggerakkan pihak berkuasa tempatan untuk memantau paras air serta membantu penduduk terjejas.
Tiada kemalangan jiwa dilaporkan setakat ini, namun orang ramai dinasihatkan supaya berwaspada berikutan cuaca masih hujan.
Menerusi beberapa hantaran di platform X, Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) memaklumkan Skuad Tindakan Khas (Pantas) telah digerakkan ke beberapa lokasi panas termasuk Sungai Damansara di Seksyen 13 bagi memantau keadaan semasa.
“Hasil pemeriksaan mendapati paras air menunjukkan peningkatan. Bagaimanapun, pam air berfungsi dengan baik,” katanya hari ini.
Antara kawasan yang dilaporkan terjejas ialah Taman Desa Kemuning di Seksyen 35; Kampung Budiman, Seksyen U14; Kampung Kubu Gajah, Seksyen U17; kawasan berhampiran pasar raya Giant di Seksyen 13; Taman Sri Lembayung, Seksyen 25; serta Jalan Opera, Seksyen U2.
Turut dinaiki air ialah Persiaran Jubli Perak, Seksyen 19; Jalan Mat Raji di Padang Jawa, Seksyen 16; Jalan Mantap 25/126 dan Jalan Sentosa 25/129 di Seksyen 25; Persiaran Budiman, Seksyen 25; serta Persiaran Perusahaan, Seksyen 23.
MBSA turut memaklumkan bahawa Jalan Batu Tiga Lama menghala ke Taman Mesra, Seksyen U1 ditutup susulan peningkatan paras air.
Orang ramai dinasihatkan supaya berhati-hati dan menggunakan laluan alternatif demi keselamatan.
“Patuh arahan sekiranya diminta berpindah ke pusat pemindahan sementara yang ditetapkan. Untuk sebarang kecemasan atau bantuan segera berkaitan banjir di Shah Alam, sila hubungi Pasukan Pantas di talian 03-5510 5811,” katanya.
Sementara itu, pengguna media sosial turut melaporkan beberapa kawasan di Taman Tun Dr Ismail Jaya turut dinaiki air.





