SHAH ALAM, 24 NOV: Kerajaan Selangor sedang meneliti mekanisme perundangan baharu bagi memudahkan proses pembangunan semula di kawasan perumahan lama yang dibangunkan oleh Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS), khususnya projek telah melebihi usia 30 tahun.
Dato’ Menteri Besar berkata usaha pembangunan semula kediaman lama sentiasa menjadi antara keutamaan PKNS, namun beberapa projek yang dikenal pasti sejak 2015 gagal diteruskan kerana kekangan teknikal dan undang-undang.
Menurut Dato’ Seri Amirudin Shari, antara kawasan terlibat ialah di Pangsapuri PKNS AU3, Keramat, Pangsapuri PKNS Seksyen 17, Petaling Jaya dan Pangsapuri PKNS Seksyen 16, Shah Alam.
“Ketiga-tiga projek ini tidak dapat dilaksanakan disebabkan tiga faktor utama iaitu pertama kegagalan mencapai persetujuan lebih 80 peratus penduduk, seperti yang ditetapkan di bawah akta Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT).
“Tuntutan pampasan tidak munasabah daripada sebahagian penduduk dan ketiadaan lokasi pemindahan sementara yang sesuai dan mengikut keperluan komuniti terlibat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan ADN Sijangkang, Dato’ Dr Ahmad Yunus Hairi yang ingin mengetahui apakah perancangan Kerajaan Negeri di dalam membangunkan semula taman perumahan yang sudah melebihi usia 30 tahun yang telah usang yang dibangunkan oleh Anak Syarikat Kerajaan Negeri (GLC) Selangor pada sidang Dewan Negeri Selangor.
Amirudin menambah, cabaran tersebut menyebabkan banyak kawasan perumahan lama berisiko terus menjadi usang tanpa sebarang proses pembaharuan menyeluruh.
“Ini cabaran terbesar. Tanpa satu kerangka undang-undang seperti Rang Undang-Undang Pembaharuan Semula Bandar (URA), kita tidak mampu melaksanakan pembangunan semula secara menyeluruh. Kediaman lama akan terus ‘rundown’,” katanya lagi.
Pada masa sama, Amirudin menegaskan bahawa setiap pembangunan semula mesti memastikan penduduk menerima unit kediaman gantian sebelum premis lama dirobohkan.
“Kita tidak boleh meminta penduduk keluar tanpa penempatan sementara. Pemaju wajib menyediakan unit penggantian terlebih dahulu,” ujarnya.
Untuk rekod, Kerajaan Persekutuan sedang merangka Rang Undang-Undang Pembaharuan Semula Bandar (URA), bagaimanapun, pada Ogos lalu, RUU tersebut ditangguhkan pembentangannya di Parlimen susulan kritikan pelbagai pihak.
Sebelum ini, Amiruddin menyatakan RUU itu dapat membantu Selangor mengatasi isu bandar menua di Selangor.




