ad

69 mangsa banjir Sabak Bernam dipindahkan ke dua PPS

24 Nov 2025, 3:04 AM
69 mangsa banjir Sabak Bernam dipindahkan ke dua PPS
69 mangsa banjir Sabak Bernam dipindahkan ke dua PPS

SHAH ALAM, 24 NOV: Seramai 69 penduduk daripada 19 keluarga di Sabak Bernam dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS) setakat 10.08 pagi tadi.

Laman web info bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) menjelaskan kesemua mangsa dipindahkan ke Dewan Sri Bernam dan Dewan Sri Skinchan.

PPS Dewan Sri Bernam yang dibuka sejak semalam menempatkan 45 mangsa daripada 12 keluarga manakala Dewan Sri Skinchan pula 24 mangsa daripada tujuh keluarga.

Sebelum ini, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor memaklumkan semua mangsa ditempatkan di PPS bagi memastikan keselamatan serta kebajikan mereka terjamin.

Selain itu, jabatan itu memaklumkan kerja pemantauan sedang dijalankan oleh anggota bomba bagi menilai keadaan semasa termasuk risiko limpahan air susulan hujan yang berterusan.

Empat Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) digerakkan dengan kekuatan 21 anggota bagi memantau kawasan berisiko iaitu BBP Sungai Besar memantau Taman Berkat, Bagan Sungai Besar, Kampung Nelayan dan Muara Sungai Haji Dorani.

Manakala BBP Bestari Jaya pula memantau Taman Saujana Aman, Pintu Air Ijok, Jalan Abdul Aziz, Jalan Robinson dan Jalan Ehsan.

BBP Shah Alam memberi tumpuan kepada Sri Muda Seksyen 25, Kampung Baru HICOM Seksyen 26, Jalan Kebun, Padang Jawa dan Kampung Kebun Bunga Seksyen 22, manakala BBP Bukit Jelutong memantau Seksyen 13 dan TTDI Jaya.