KUALA LUMPUR, 23 NOV: Kedah menjadi negeri terbaharu yang dilanda banjir, selepas Kelantan dan Terengganu, sekali gus merekodkan jumlah keseluruhan mangsa yang dipindahkan di pusat pemindahan sementara (PPS) di tiga negeri itu 2,112 mangsa pagi ini.
Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Kedah dalam kenyataan memaklumkan 225 mangsa daripada 66 keluarga dari daerah Kulim ditempatkan di PPS Masjid Al-Muhtadin Sungai Seluang, Surau Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (KEDA) Naga Lilit dan Sekolah Kebangsaan (SK) Permatang Tok Dik.
“Mukim yang terlibat ialah Sungai Seluang dan mangsa adalah dari Kampung Siam, Kampung Bukit Sarang Ayam, Kampung Paya Serdang, Kampung Titi Tok Aris dan Kampung Padang Cina,” menurut kenyataan itu hari ini.
Sementara itu, mangsa banjir di Kelantan mencatat peningkatan kepada 1,623 orang pagi ini berbanding 1,170 orang malam tadi melibatkan tiga jajahan yang terjejas susulan hujan lebat berterusan tahap waspada sejak Jumaat lalu.
Infobencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) memaklumkan, 12 PPS kini beroperasi di Kota Bharu, Tumpat dan Bachok.
PPS yang terlibat di Kota Bharu ialah SK Sering, SK Raja Sakti, SK Tapang, SK Parang Puting, SK Islah, SK Seribong, dan SK Sabak, manakala di Tumpat melibatkan SK Seri Tumpat 2 dan SK Pengkalan Kubor 2, selain tiga PPS di Bachok, iaitu SK Sembilan Pauh, SK Jelawat dan SK Pa'Pura.
Di Terengganu, situasi banjir menunjukkan sedikit penurunan jumlah mangsa yang ditempatkan di PPS berbanding malam tadi.
Menurut laman web info bencana JKM, 264 mangsa daripada 87 keluarga dari Kampung Baru, Pulau Redang masih berlindung di PPS Masjid Kampung Pulau Redang di Kuala Nerus berbanding 276 mangsa malam tadi.








