SHAH ALAM, 22 NOV: Kanak-kanak perempuan berusia tiga tahun maut selepas kereta dipandu bapanya terbabit kemalangan di Kilometer 3, Jalan Kuala Pilah- Melang, Kuala Pilah berhadapan sebuah stesen minyak di sini, petang semalam.
Kejadian jam 3.35 petang itu berlaku ketika mereka dalam perjalanan pulang ke rumah di Seremban.
Ketua Polis Daerah Kuala Pilah, Superintendan Muhamad Mustafah Hussin berkata, kejadian membabitkan dua kereta jenis Perodua Bezza, lapor Berita Harian.
"Siasatan awal mendapati, kemalangan dipercayai berlaku ketika kenderaan dipandu seorang lelaki bersama isteri, anak perempuan berusia tiga tahun serta anak saudara perempuan dari arah Kuala Pilah menghala ke Seremban.
"Apabila sampai di tempat kejadian, sebuah Perodua Bezza yang datang dari arah bertentangan hilang kawalan dan masuk ke laluan kereta dinaiki sekeluarga terbabit," katanya dalam kenyataan, hari ini.
Mustafah berkata, Perodua Bezza dinaiki mereka cuba mengelak ke sebelah kanan jalan, namun gagal dan melanggar Perodua Bezza itu.
Beliau berkata, kemalangan berkenaan mengakibatkan kanak-kanak perempuan berusia tiga tahun yang duduk di bahagian penumpang belakang cedera parah pada bahagian kepala dan disahkan meninggal dunia semasa dirawat di wad Hospital Tuanku Ampuan Najihah di sini.
"Bapa kanak-kanak itu, ibu serta sepupu perempuannya serta pemandu sebuah lagi Perodua Bezza masih dirawat di hospital sama.
"Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan siasatan lanjut masih diteruskan," katanya.




