SHAH ALAM, 22 NOV: Kerajaan Negeri kini giat berusaha mencari penyelesaian bagi projek perumahan Rumah Selangorku di Morib Bay yang berstatus “sakit” dan bukannya terbengkalai seperti disalah anggap.
EXCO Perumahan dan Kesejahteraan Bandar, Borhan Aman Shah berkata, status projek tersebut belum diklasifikasikan sebagai terbengkalai kerana langkah itu akan memanjangkan proses penyelesaian, termasuk melibatkan perintah mahkamah.
“Kita bincang dengan Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT) supaya tidak dimasukkan dalam kategori terbengkalai. Kalau masuk, ia akan ambil masa lama untuk dapat keputusan mahkamah,” katanya semasa sesi penggulungan di Dewan Negeri Selangor pada 20 November.
Beliau menjelaskan, kelewatan projek berpunca daripada masalah kewangan serius yang dihadapi pemaju asal, yang berkemungkinan akan diisytiharkan bankrap.
"Kita sudah ambil pendekatan dengan memanggil semua yang terlibat dalam projek ini antaranya tuan tanah iaitu PNB (Pemodalan Nasional Berhad). Kami telah juga berbincang dengan syarikat yang kita lihat ada rekod yang boleh membantu bagi projek-projek terbengkalai," katanya.
Tambah Borhan, hasil perbincangan menunjukkan perkembangan positif termasuk cadangan menstruktur semula pembeli ke unit yang hampir siap bagi mempercepatkan pemilikan rumah.
“Ada dua fasa projek ini, iaitu rumah teres dan apartmen. Kita cadangkan pembeli apartmen yang belum siap dipindahkan ke unit teres yang hampir 95 peratus siap,” katanya.
Beliau turut menjelaskan, antara syarat penyelesaian yang dicadangkan ialah pembeli bersetuju untuk tidak menuntut gantirugi bayaran lewat (LAD) yang dianggarkan mencecah RM30 juta, bagi membolehkan penyelamatan projek yang memerlukan kos lebih RM160 juta.
Menurut Borhan, semua pihak termasuk pemilik tanah, pembeli dan syarikat penyelamat menunjukkan kesediaan bekerjasama untuk menyelesaikan masalah ini demi kepentingan bersama.
Projek Rumah Selangorku Pangsapuri Morib Anggun di Kuala Langat adalah antara 0.1% projek perumahan mampu milik Kerajaan Negeri yang berdepan masalah sejak beberapa tahun lalu.
Sebelum ini dilaporkan, Dato' Menteri Besar Dato Amirudin Shari berkata Kerajaan Negeri kekal komited mencari penyelesaian kepada isu tersebut.
“Fokus kami sekarang adalah mencari pemaju yang bersedia mengambil alih dan menyiapkan projek ini,” katanya.




