SHAH ALAM, 21 NOV: Selangor akan mengenakan syarat penginapan maksimum 180 malam atau enam bulan setahun kepada unit kediaman sewa jangka pendek seperti AirBnb bermula Januari tahun depan, kata EXCO Pelancongan dan Kerajaan Tempatan.
Dato’ Ng Suee Lim berkata penetapan akan diputuskan selepas Kerajaan Negeri meneliti garis panduan kediaman sewa jangka masa pendek yang dijangka dikeluarkan oleh Putrajaya bulan depan.
“Sekarang semua dalam peringkat perancangan garis panduan penginapan jangka masa pendek (STRA) yang dibuat Jabatan Perancangan Bandar dan Desa (PLANMalaysia), di mana tempat menginap seperti AirBnb kita rangkum 180 hari setahun.
“Sebab kalau mereka beroperasi lebih dari 180 hari, pengusaha perlu memohon kebenaran merancang. Bagaimanapun segala perancangannya akan tertakluk kepada dasar dan penggubahan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT).
“Pelaksanaan ini akan diteliti secara menyeluruh dan garis panduan baharu ini akan diluluskan dalam Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri. Sekiranya nanti perlukan akta, baharu lah akan di bawa ke sidang dewan,” katanya kepada Media Selangor.
Suee Lim berkata pelaksanaan itu sebagai langkah mengawal operasi AirBnb berikutan rungutan daripada pemain industri khususnya pengusaha hotel yang mendakwa wujudnya persaingan tidak sihat selain pengusahanya tidak terikat sebarang mekanisme atau undang-undang.
“Ini kerana hotel perlu membayar segala fi dan sebagainya namun AirBnb tidak terikat dengan sebarang undang-undang. Kalau mahu beroperasi sepanjang tahun, AirBnb perlu memohon kebenaran merancang dari pihak berkuasa tempatan,” katanya.
Beliau menjelaskan pelaksanaan terbabit bukan bertujuan membebankan pengusaha sebaliknya merupakan langkah tepat termasuk menjamin keselamatan pelanggan.
“Sekarang negeri mahu buat pemutihan termasuk berdaftar dengan MOTAC. Ini bolehkan kita mengawal dan pantau selain pastikan pengusaha bayar cukai ditetapkan,” katanya.
Semalam, ketika menggulung bahas Rang Undang-undang Enakmen Perbekalan 2026 di Dewan Negeri Selangor, Suee Lim berkata Selangor juga akan mengenakan caj ke atas semua jenis penginapan termasuk hotel, inap desa dan Airbnb bermula Januari tahun depan.
Fi kelestarian itu bertujuan menampung kos penyenggaraan serta penambahbaikan infrastruktur negeri namun jumlahnya tidak akan membebankan pelancong dan berbeza mengikut kelas.
“Cukai ini bukan baharu sebaliknya sudah dilaksanakan di beberapa negeri. Pulau Pinang, Melaka, Pahang dan Perak antara yang terawal mengenakan cukai kelestarian atau warisan ini.
“Sudah sampai masanya Selangor mengambil langkah sama untuk pastikan semua pelancong terutama dari luar negara menyumbang kepada negeri ini. Yang pastinya nilai tidak membebankan,” katanya.
Dewan Rakyat sebelum ini diberitahu draf garis panduan penginapan sewaan jangka pendek yang dibangunkan oleh KPKT akan dibentang untuk kelulusan Jemaah Menteri sebelum dibawa ke Majlis Negara bagi Kerajaan Tempatan (MNKT) untuk dilaksanakan menjelang akhir tahun ini.





