ad

MB: Dokumen libat strategi perniagaan tidak boleh didedah sepenuhnya

21 Nov 2025, 3:43 PM
MB: Dokumen libat strategi perniagaan tidak boleh didedah sepenuhnya

SUBANG JAYA, 21 NOV: Sebarang dokumen yang melibatkan strategi perniagaan tidak boleh didedahkan sepenuhnya kepada umum kerana ia membabitkan kepentingan Kerajaan Negeri, syarikat berkaitan, pihak berkuasa tempatan dan entiti perniagaan yang terlibat.

Menurut Dato’ Menteri Besar Selangor, Dato’ Seri Amirudin Shari, proses untuk menurunkan taraf kerahsiaan (declassify) sesuatu dokumen hanya boleh dilakukan apabila semua pihak memberi kebenaran penuh.

“Proses ini penting kerana bukan semua dokumen boleh diumumkan terus kepada umum terutamanya yang melibatkan pelan perniagaan kerana itu adalah strategi dan keupayaan syarikat terbabit.

Setiap dokumen memerlukan persetujuan Kerajaan Negeri, Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI, pihak berkuasa tempatan dan syarikat terlibat sebelum boleh dinyahfikirkan,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Majlis Sambutan Hari Penjaja dan Peniaga Kecil Peringkat Negeri Selangor 2025 di The Roundabout, Putra Heights, hari ini.

Amirudin menambah, banyak urusan Kerajaan Negeri dibentang dalam Mesyuarat Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) dan diklasifikasikan di bawah Akta Rahsia Rasmi (OSA). Justeru, setiap permohonan perlu melalui proses nyahfikasi dalam mesyuarat sebelum maklumat boleh didedahkan.

Terdahulu, dalam sesi penggulungan Persidangan Dewan Negeri Selangor (DNS) hari ini, beliau memaklumkan bahawa perkara itu telah dibincangkan dalam dua MMKN sebelum ini dan secara asasnya Kerajaan Negeri bersetuju untuk nyahfikasi di bawah OSA, kecuali dokumen kontrak yang melibatkan syarikat berkaitan.

Dalam pada itu, beliau menegaskan, pendekatan ini dilaksanakan untuk memastikan urusan Kerajaan Negeri berjalan telus tanpa menjejaskan kepentingan perniagaan atau maklumat sensitif pihak terbabit.