SHAH ALAM, 21 NOV: Kerajaan Negeri memperkenalkan beberapa pembaharuan bagi menangani kelemahan birokrasi pihak berkuasa tempatan (PBT) yang dikenal pasti sebagai antara punca kelambatan perkhidmatan kepada rakyat.
Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata perbezaan ketara tahap kecekapan antara PBT serta amalan kerja tidak seragam menyebabkan proses kelulusan kerap mengambil masa terlalu lama.
Menurutnya, kelemahan tersebut mendorong Selangor melancarkan inisiatif Speed Selangor bagi mempercepatkan urusan kebenaran merancang dan prosedur One Stop Centre (OSC), sekali gus memudahkan operasi perniagaan serta urusan rakyat.
“Contohnya proses yang dahulu mengambil masa tiga bulan kini dipendekkan kepada 10 hingga 14 hari, manakala proses enam bulan dapat disingkatkan kepada sebulan. Ada PBT yang berjaya laksana tetapi PBT lain tidak mengikutinya, maka melalui bengkel kita selaraskan dan lahirlah Speed Selangor,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjadi tetamu program podcast Keluar Sekejap bersama Khairy Jamaluddin dan Shahril Hamdan.
Amirudin berkata pembaharuan turut diperluaskan kepada urusan melibatkan rakyat secara langsung, termasuk permohonan ubah suai rumah yang sebelum ini mengambil masa panjang.
“Saya minta mereka luluskan dalam tempoh 24 hingga 48 jam,” katanya.
Mengulas punca PBT sering lambat bertindak, Amirudin menjelaskan antara faktornya ialah kegagalan PBT meniru amalan baik antara satu sama lain serta wujudnya budaya kerja selesa yang menghalang penambahbaikan.
“Di tempat lain boleh selesai 24 jam, di tempat sini mereka kekalkan sistem lama. Ada juga rangkaian keselesaan kerana penjawat sudah lama bertugas dan wujud hubungan keluarga atau sahabat.
“Ini menyebabkan wujud apa yang dipanggil ‘little Napoleon’, jadi keseluruhan ekosistem itu perlu diperbaiki,” katanya.
Beliau menambah, cadangan mengadakan pilihan raya kerajaan tempatan bukan penyelesaian sekiranya struktur dan budaya kerja dalaman tidak diubah terlebih dahulu.
Amirudin berkata pembaharuan PBT penting kerana pengalaman rakyat berurusan dengan PBT banyak mempengaruhi persepsi mereka terhadap kerajaan secara keseluruhan.




