SHAH ALAM, 21 NOV: Sebahagian pemain bola sepak warisan yang kini digantung menerima kelulusan permohonan pasport Malaysia pada hari yang sama mereka mengemukakan borang permohonan, kata Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (Fifa).
Menurut jawatankuasa Fifa, permohonan pasport Rodrigo Julian Holgado, Imanol Javier Machuca, Joao Vitor Brandao Figueiredo dan Jon Irazabal Iraurgui dihantar dan diluluskan pada 3 Jun manakala perkara sama berlaku kepada Hector Alejandro Hevel Serrano pada 18 Mac.
Sementara itu, Gabriel Felipe Arrocha menyerahkan permohonannya pada 17 Mac dan Facundo Tomas Garces Rattaro pada 1 Jun, dengan kedua-dua permohonan mereka kemudiannya diluluskan pada 18 Mac dan 3 Jun, lapor Malaysiakini.
Fifa berkata para pemain terlibat telah mengemukakan dua permohonan berasingan untuk memperoleh kewarganegaraan melalui proses naturalisasi kerajaan.
“Permohonan pertama telah ‘dipertimbangkan untuk kelulusan khas’ dan Kementerian Dalam Negeri mengarahkan Jabatan Pendaftaran Negara untuk ‘menerima dan memproses’ permohonan kerakyatan pemain selepas mereka menerima permit masuk ke negara ini dan mereka sudah berbuat demikian.
“Para pemain kemudian tampil di hadapan pihak berkuasa Malaysia dan menyerahkan permohonan kedua untuk naturalisasi mereka, kali ini mengemukakan keseluruhan dokumen beserta borang berkaitan (Permohonan Kedua).”
Fifa berkata dokumen permohonan itu mengandungi tandatangan dan cap jari setiap pemain serta surat iringan yang menyatakan tiga keping foto pasport terkini, bayaran pendaftaran permohonan, kad pengenalan, permit masuk dan dokumen perjalanan telah dilampirkan.
“(Namun) tiada satu pun fail permohonan mengandungi sebarang dokumen keturunan pemain, iaitu sijil lahir ibu bapa atau datuk nenek.”





