Sindiket dadah guna pulau tiada penghuni sebagai lokasi transit bekalan - Kastam

21 Nov 2025, 7:24 AM
Sindiket dadah guna pulau tiada penghuni sebagai lokasi transit bekalan - Kastam

KUALA LUMPUR: Sindiket dadah dikesan menggunakan pelbagai modus operandi bagi menyeludup bekalan ke negara ini, termasuk menjadikan pulau tidak berpenghuni sebagai lokasi transit.

Ketua Pengarah Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), Datuk Anis Rizana Mohd Zainudin berkata sindiket berkenaan menggunakan kaedah ‘drop point’, iaitu meninggalkan dadah di lokasi tertentu untuk diambil individu lain sebelum diedarkan.

Beliau berkata, taktik itu turut melibatkan tindakan meninggalkan bungkusan di pulau-pulau tidak berpenghuni bagi mengelakkan pengesanan pihak berkuasa.

“Selain itu, sindiket turut menggunakan kontena bermuatan kargo seperti buah-buahan dan sayuran dari negara jiran bagi mengaburi pihak berkuasa, namun taktik tersebut berjaya dikesan JKDM.

“Dalam tempoh 10 bulan pertama tahun ini hingga Oktober, JKDM merekodkan 594 kes dadah dengan nilai rampasan mencecah RM459.30 juta,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Anis berkata, sindiket penyeludupan turut mengeksploitasi perkhidmatan kurier dengan menggunakan nama dan alamat palsu bagi penghantaran bungkusan.

“Kita juga mengesan cubaan membawa masuk dadah melalui pintu sempadan menggunakan individu yang memandu kenderaan. Sindiket memanfaatkan ‘keldai dadah’ yang membawa bagasi berisi dadah atau menyembunyikannya dalam kenderaan yang diubah suai dengan ruang khas.

“Terdapat juga kes penyeludupan melalui kontena kargo seperti buah-buahan, sayuran dan makanan basah dari negara jiran, dengan dadah diselit bersama komoditi berkenaan,” katanya.

Menurutnya, langkah tegas memerangi penyeludupan dadah dilaksanakan melalui operasi Joint Task Force (JTF) bersama Indonesia dari 1 hingga 31 Julai lalu di Sabah dan Sarawak, yang mencatat rampasan bernilai RM39.22 juta.

“JKDM juga menjalankan pemeriksaan rutin di pintu keluar masuk negara serta kawalan berkala di perairan dengan memberi tumpuan kepada kawasan panas selain rondaan Unit Marin JKDM,” katanya.

Beliau berkata, keupayaan Anjing Pengesan Dadah (APD) turut dipertingkat melalui penambahan aset, latihan berterusan dan risikan dipandu maklumat (intelligence-driven) bagi memperkukuh usaha membanteras penyeludupan.

“JKDM akan terus memperkukuh peranan sebagai agensi barisan hadapan dalam mempertahankan keselamatan negara, khususnya dalam memerangi penyeludupan dadah.

“Inisiatif ini mencerminkan keupayaan operasi yang kukuh, kepakaran anggota dan keberkesanan strategi penguatkuasaan yang dilaksanakan,” katanya.