SHAH ALAM, 21 NOV: Susulan kontroversi melibatkan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Kementerian Belia dan Sukan (KBS) tampil memperketat kawal selia terhadap dana kerajaan kepada skuad bola sepak negara.
Menterinya, Hannah Yeoh mencadangkan agar penyaluran dana tambahan kepada pasukan kebangsaan dihentikan sementara sehingga keyakinan terhadap pentadbiran FAM dipulihkan sepenuhnya.
Menurut Hannah, langkah itu antara pendekatan penambahbaikan yang dicadangkan bagi memastikan pembangunan atlet tempatan kekal sebagai fokus utama kementerian.
“Buat masa ini, saya hanya boleh mencadangkan supaya tiada lagi dana tambahan disalurkan. Fokus dahulu kepada membantu pasukan kebangsaan dan memastikan penambahbaikan dijalankan,” katanya seperti dilapor BH.
Hannah berkata demikian ketika menggulung perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan 2026 peringkat jawatankuasa KBS di Dewan Rakyat, semalam.
Isu FAM kembali hangat diperkatakan selepas dakwaan pemalsuan dokumen membabitkan tujuh pemain warisan yang kini dalam perhatian Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA), sehingga mencetuskan perbahasan hangat di Dewan Rakyat.
Mengulas lanjut, Hannah berkata KBS turut mencadangkan supaya setiap permohonan naturalisasi atlet atau pemain yang dicadangkan persatuan sukan kepada Kementerian Dalam Negeri (KDN) selepas ini dirujuk terlebih dahulu kepada Majlis Sukan Negara (MSN).
Katanya, MSN lebih memahami keperluan sebenar pasukan kerana kerajaan melalui Program Pembangunan Bolasepak Negara (NFDP) dan program akar umbi telah membelanjakan dana besar untuk melahirkan bakat tempatan.
“MSN lebih tahu mengenai keperluan sama ada pasukan ini memerlukan pemain warisan atau tidak,” katanya.
Beliau turut memaklumkan MSN pada November lalu telah mengadakan sesi libat urus bersama kelab bola sepak profesional yang antara lain menjelaskan perancangan mereka mendapatkan khidmat pemain naturalisasi.
“KBS atau MSN tidak mempunyai kuasa menghalang usaha mereka jika mereka mahu kerana ia dibenarkan FIFA.
"Jadi kalau mereka mahukan pemain warisan, mereka perlu melalui proses yang teratur supaya kontroversi seperti ini tidak berulang,” jelasnya.
Hannah menegaskan dua cadangan tersebut menjadi langkah awal kementerian sementara menunggu siasatan penuh isu berkenaan.
Terdahulu, ketika sesi penggulungan, Ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang sependapat mempersoalkan reputasi negara yang tercalar akibat skandal tersebut.


