Jihad pemerintah perangi kemiskinan

21 Nov 2025, 2:00 AM
Jihad pemerintah perangi kemiskinan

Dalam kerangka Maqasid al-Syariah, belanjawan mempunyai nilai moral dan tanggungjawab syarie yang amat besar. Maqasid al-Syariah, menurut al-Imam al-Shatibi, merangkumi lima pemeliharaan asas manusia: agama (al-din), nyawa (al-nafs), akal (al-aql), keturunan (al-nasl) dan harta (al-mal).

Segala dasar dan keputusan pemerintah termasuk pengurusan ekonomi, mesti menjurus kepada penjagaan lima perkara ini. Belanjawan dalam perspektif Islam perlu berfungsi sebagai alat untuk memastikan pemeliharaan harta rakyat, keselamatan jiwa serta keseimbangan sosial.

Bantuan kepada golongan miskin bukan semata-mata dasar populis, tetapi satu tuntutan maqasid yang jelas.

Ia menjaga al-nafs dengan memastikan rakyat tidak kelaparan, menjaga al-mal dengan mengembalikan keseimbangan pemilikan harta serta menjaga al-din dengan menghindarkan kemiskinan yang boleh menggugat akidah dan moral.

Dalam satu hikmah masyarakat Arab ada menyebut: “Kemiskinan itu hampir-hampir membawa kepada kekufuran.”

Maka, usaha menghapuskan kemiskinan ialah jihad pemerintah bagi memelihara kestabilan iman dan maruah rakyat.

Dalam sejarah Islam, para khalifah menekankan tanggungjawab terhadap golongan miskin bukanlah derma, tetapi amanah kekuasaan.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari (kanan) menyampaikan sumbangan kepada penerima pada majlis penyerahan sumbangan anak yatim dan fakir miskin di Masjid Kampung Nakhoda, Batu Caves pada 23 Mac 2025. Foto MOHD KHAIRUL HELMY MOHD DIN/MEDIASELANGOR

Khalifah Umar ibn al-Khattab pernah berkata:

“Demi Allah, sekiranya seekor anak kambing tersesat di tepi Sungai Furat lalu mati, aku bimbang Allah akan menyoalku tentangnya.” (al-Sunnah, Abu Bakar Khalal, hadis no: 396)

Ungkapan ini menggambarkan betapa seriusnya tanggungjawab pemerintah dalam menjamin keperluan asas makhluk di bawah tadbirannya.

Begitu juga dalam konteks moden, apabila kerajaan memperuntuk dana bantuan tunai, subsidi makanan, skim perlindungan sosial, pendidikan percuma atau rawatan kesihatan mampu milik - semua ini sebahagian pelaksanaan prinsip maslahah ‘ammah (kepentingan umum).

Namun, Maqasid al-Syariah tidak hanya menuntut pemberian bantuan semata-mata, tetapi juga pembangunan manusia. Islam mengiktiraf bahawa pemberian yang berterusan tanpa pengupayaan boleh menimbulkan kebergantungan dan melemahkan daya saing.

Oleh itu, belanjawan yang berpaksikan maqasid perlu menyeimbangkan antara taqwiyah (pengukuhan keupayaan) dan takwin (pemberian asas).

Bantuan tunai penting untuk keperluan segera, tetapi lebih utama mewujudkan dasar yang membolehkan rakyat berdikari: peluang pekerjaan, pendidikan berkualiti, latihan kemahiran, serta sokongan kepada perusahaan kecil dan sederhana.

Firman Allah SWT dalam Surah al-Hashr ayat 7:

“Supaya harta itu tidak hanya beredar di kalangan orang kaya di antara kamu.”

Ayat ini menuntut agar sistem ekonomi berperanan membahagikan kekayaan secara adil, dan tidak membiarkan kelompok miskin terus terpinggir dari arus pembangunan.

Pembangunan

Dalam kaca mata maqasid, pembangunan negara tidak terhad kepada pembinaan infrastruktur atau peningkatan KDNK semata-mata. Ia mesti mencakupi pembangunan rohani, moral, sosial dan ekologi.

Negara dikira maju apabila rakyatnya hidup dalam suasana aman, berilmu, berakhlak dan tidak terpinggir dari segi ekonomi mahupun maruah.

Belanjawan yang baik membangunkan manusia, bukan hanya membina bangunan. Peruntukan untuk pendidikan, kesihatan, keluarga dan alam sekitar merupakan pelaburan jangka panjang terhadap Maqasid al-Insaniyyah (pemeliharaan kemanusiaan).

Dato' Menteri Besar Dato' Seri Amirudin Shari membentangkan Belanjawan Selangor 2026 di Dewan Negeri Selangor, Shah Alam pada 14 November 2025. Foto FIKRI YUSOF/MEDIA SELANGOR

Nabi Muhamad SAW sendiri menegaskan sebaik-baik manusia ialah yang paling bermanfaat kepada manusia lain, prinsip yang wajib diterjemahkan dalam dasar kewangan negara.

Maqasid juga menuntut keadilan dalam pengagihan sumber. Keadilan ini bukan bermakna sama rata, tetapi memberi kepada setiap yang berhak berdasarkan keperluan dan peranan.

Ulama seperti Ibn Khaldun menegaskan kekuatan negara terletak pada rakyatnya, dan kekuatan rakyat bergantung pada keadilan pemerintah.

Jika belanjawan hanya menguntungkan elit, maka maqasid diseleweng; tetapi jika ia memperkasa yang lemah, maka ia menzahir rahmat Allah kepada bumi.

Dalam Islam, setiap sen harta awam adalah amanah. Ketelusan, integriti dan keberkesanan dalam pengurusan belanjawan adalah tuntutan maqasid juga.

Rasulullah SAW bersabda:

“Setiap kamu adalah pemimpin, dan setiap pemimpin akan ditanya tentang rakyat di bawah tanggungannya.” (Bukhari, hadis no: 893)

Oleh itu, setiap dasar ekonomi mesti disertai mekanisme pengawasan yang memastikan bantuan benar-benar sampai kepada yang berhak.

Akhirnya, belanjawan negara dalam kerangka Maqasid al-Syariah bukan hanya dokumen ekonomi, tetapi manifestasi rahmat Allah dalam urus tadbir manusia. Ia harus mencerminkan kasih sayang, keadilan dan tanggungjawab sosial.

Setiap peruntukan kepada fakir miskin, setiap skim pembangunan desa, setiap biasiswa kepada pelajar miskin, dan setiap peluang pekerjaan yang diwujudkan adalah langkah menuju rahmatan lil-‘alamin.

Pemerintah yang menyalurkan kekayaan negara dengan adil dan beramanah sebenarnya menegakkan maqasid - menjaga nyawa, maruah dan harta rakyatnya.

Belanjawan yang menepati Maqasid al-Syariah bukan sekadar menghulur bantuan, tetapi membina kemampuan. Ia bukan hanya menjaga perut rakyat, tetapi juga menghidupkan semangat kemanusiaan.

Dalam erti kata lain, pemerintah yang menyalurkan bantuan dan membangunkan negara berasaskan maqasid bukan sahaja memenuhi tanggungjawab ekonomi, tetapi menunaikan ibadah yang menghubungkan langit dan bumi melalui keadilan sosial dan rahmat insani.