'Scam' haji jejas ibadah umat

17 Apr 2026, 4:00 AM
'Scam' haji jejas ibadah umat

Ibadah haji merupakan rukun Islam yang kelima, difardukan ke atas setiap Muslim yang memenuhi syarat kemampuan (istita‘ah). Firman Allah SWT:

“Dan sempurnakanlah haji dan umrah kerana Allah.” (Surah al-Baqarah: 196)

Ayat ini bukan sekadar memerintahkan pelaksanaan haji, tetapi menuntut agar ia dilakukan dengan penuh kesempurnaan. Ia meliputi aspek zahir dan batin, kefahaman hukum serta keikhlasan kepada Allah SWT.

Hakikatnya, haji bukan sekadar perjalanan fizikal ke tanah suci, tetapi satu ibadah yang menuntut ilmu, disiplin dan kesedaran rohani yang tinggi.

Dalam disiplin fiqh, khususnya melalui kaedah usul fiqh, setiap amalan dinilai berdasarkan dalil serta tujuan (maqasid) di sebaliknya. Haji mempunyai tiga komponen utama yang perlu difahami dengan jelas: rukun, wajib dan sunat.

Rukun haji

Rukun haji ialah perkara asas yang menentukan sah atau tidaknya haji. Jika salah satu daripadanya ditinggalkan, maka haji tidak sah dan wajib diulang. Antara rukun tersebut ialah, ihram, wukuf di Arafah, tawaf ifadah, sa‘I dan Tertib.

Sabda Nabi SAW: “Haji itu adalah Arafah.” (Riwayat al-Tirmizi)

Hadis ini menunjukkan bahawa wukuf di Arafah adalah inti kepada keseluruhan ibadah haji, bahkan menjadi simbol kemuncak pengabdian seorang hamba kepada Allah.

Wajib haji

Wajib haji pula ialah amalan yang jika ditinggalkan, haji tetap sah tetapi dikenakan dam (denda). Antaranya, berniat ihram di miqat, bermalam di Muzdalifah, bermalam di Mina, melontar jamrah dan tawaf wada’.

Jemaah haji dari seluruh dunia menunaikan ibadah melontar jamrah kubra pada 10 Zulhijjah di Mina pada 6 Jun 2025. Foto BERNAMA

Dalil kewajipan ini diambil daripada perintah Nabi SAW serta amalan Baginda dalam Haji Wada’. Kaedah usul fiqh menyebut: “Perintah menunjukkan wajib selagi tiada qarinah yang memalingkannya.”

Ini bermaksud, setiap arahan Nabi SAW pada asalnya membawa hukum wajib, melainkan terdapat petunjuk lain yang mengubahnya.

Sunat haji

Selain itu, terdapat amalan sunat yang jika dilakukan akan menambah pahala, tetapi tidak menjejaskan sah haji jika ditinggalkan. Antaranya, tawaf qudum, memperbanyakkan talbiyah, berzikir dan berdoa dan berjalan kaki bagi yang mampu.

Dari sudut maqasid syariah, amalan sunat ini berperanan dalam proses tazkiyah al-nafs (penyucian jiwa), menjadikan haji bukan sekadar sah dari sudut hukum, tetapi juga hidup dari sudut spiritual.

Dalam masyarakat, terdapat beberapa kekeliruan yang perlu diperbetulkan. Antaranya, menganggap pakej mahal menjadikan haji 'lebih sah', mengamalkan ritual tambahan tanpa dalil, mengejar gelaran 'Haji' sebagai status sosial dan sebagainya.

Walhal, kaedah usul fiqh menegaskan: “Asal dalam ibadah adalah tauqifi (terikat dengan dalil).”

Ini bermakna, ibadah tidak boleh direka-reka.

Segala amalan mestilah bersandarkan kepada al-Quran dan sunnah. Haji bukan medan menunjuk-nunjuk, tetapi medan tunduk dan merendah diri di hadapan Allah SWT.

'Scam' haji

Dalam beberapa tahun kebelakangan ini, kes penipuan pakej haji semakin membimbangkan. Terdapat pihak tidak bertanggungjawab menawarkan pakej murah luar biasa, visa tidak sah, 'jalan pintas' tanpa melalui saluran rasmi.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Dr Zulkifli Hasan pada Majlis Pelepasan Pasukan Awal Petugas Haji di Sepang pada 11 April 2026. Foto Facebook BERNAMA

Dari sudut syariah, perbuatan ini jelas haram kerana mengandungi unsur penipuan (gharar) dan mengambil harta secara batil. Firman Allah SWT:

“Wahai orang-orang beriman, janganlah kamu makan harta sesama kamu dengan jalan yang batil.” (Surah An-Nisa’: 29)

Dari sudut maqasid syariah, penipuan ini melanggar prinsip hifz al-mal (pemeliharaan harta) dan hifz al-din (pemeliharaan agama).

Lebih menyedihkan, mangsa bukan sahaja kehilangan wang, tetapi turut kehilangan peluang menunaikan ibadah haji yang amat besar nilainya.

Islam memberikan kelonggaran melalui konsep badal haji, iaitu menggantikan seseorang untuk menunaikan haji bagi pihaknya.

Ia dibenarkan dalam keadaan individu itu sudah meninggal dunia atau tidak mampu secara kekal (uzur syarie). Dalilnya, sabda Nabi SAW kepada seorang wanita:

“Tunaikanlah haji untuknya.”(Riwayat al-Bukhari)

Dari sudut usul fiqh, haji termasuk ibadah yang boleh diwakilkan kerana mempunyai unsur, Badaniyyah (fizikal) dan maliyyah (harta).

Namun, terdapat syarat penting, wakil telah menunaikan haji untuk dirinya sendiri, dia melaksanakannya dengan amanah dan tidak dijadikan medan keuntungan melampau

Haji mengandungi hikmah yang luas dan mendalam. Ia memenuhi pelbagai tujuan syariah, seperti hifz al-din (memelihara agama), iaitu dalam menguatkan iman dan ketaatan; hifz al-nafs (memelihara nyawa), iaitu melatih kesabaran dan disiplin; hifz al-mal (memelihara harta), iaitu mendidik pengorbanan; hifz al-‘ird (memelihara maruah), iaitu menghapuskan perbezaan darjat.

Pergerakan pulang kumpulan pertama jemaah haji Malaysia (KT001) ke tanah air yang melibatkan seramai 277 orang dari bangunan penginapan Abraj Al Janadriyah ke Lapangan Terbang Antarabangsa King Abdulaziz, Jeddah berjalan lancar. Foto BERNAMA

Semua manusia berhimpun di Arafah tanpa mengira bangsa dan status, melambangkan kesatuan umat dan kesamarataan di sisi Allah SWT.

Ibadah haji menuntut keseimbangan antara, kefahaman hukum (fiqh) dan penghayatan rohani (ihsan) serta keikhlasan niat.

Dalam masa yang sama, umat Islam perlu sentiasa berwaspada terhadap penipuan yang mempergunakan keinginan suci untuk ke Tanah Suci. Jangan mudah terpedaya dengan tawaran luar biasa yang tidak sah.

Akhirnya, haji bukan sekadar gelaran, tetapi perjalanan menuju Allah. Sabda Nabi SAW:

“Haji yang mabrur tiada balasan baginya melainkan syurga.” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Maka, yang lebih penting bukan sekadar sampai ke Mekah, tetapi memastikan ibadah itu diterima sebagai haji yang mabrur, iaitu haji yang mengubah diri menjadi lebih taat, lebih bersih jiwanya, dan lebih dekat dengan Allah SWT.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.